|
SITI Nurnasyitah Mhd Raffi,18, (kiri) yang memperolehi keputusan cemerlang 8A dalam SPM menunjukkan keputusan kepada ibunya, Zuliana Che Ani di Bohor Mali, Kangar, Perlis, baru-baru ini.- UTUSAN
KANGAR : Meskipun berdepan penyakit anemia atau kekurangan darah merah, namun tidak menghalang Siti Nurnasyitah Mhd Raffi,18, memperolehi keputusan cemerlang 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan, baru-baru ini.
Malah anak pasangan peniaga ayam golek di tepi jalan di Bohor Mali itu juga berjaya menempuh cabaran dalam keadaan serba kekurangan mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama berbulan-bulan untuk berjaya dalam pelajaran.
Sudah pastinya, antara insan yang paling gembira dengan kejayaan Siti Nurnasyitah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen
itu ialah kedua ibu bapanya iaitu Zuliana Che Ani,44, dan Mhd Raffi Kidam,53.
Siti Nurnasyitah berkata, meskipun proses PdPR pada awalnya agak sukar namun dia tidak pernah berputus asa dan sentiasa bertanya guru sekiranya tidak faham sesuatu mata pelajaran yang diajar itu.
Meskipun berdepan penyakit anemia namun anak kedua daripada tiga beradik itu juga tidak pernah sama sekali patah semangat sebaliknya terus berusaha.
“Ibu bapa, guru serta rakan-rakan sentiasa memberi sokongan. Alhamdulilah berkat sokongan mereka saya mendapat keputusan ini,” katanya yang bercita-cita menjadi guru ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Zuliana berkata, kejayaan Siti Nurnasyitah adalah hadiah paling bermakna buatnya selepas melihat bagaimana kesungguhannya belajar dalam keadaan serba kekurangan bagi mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.
Kata ibu kepada tiga orang anak itu, Siti Nurnasyitah mengalami masalah kekurangan darah merah yang menyebabkan mukanya menjadi pucat, letih dan mereka selalu berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan.
“Meskipun begitu, dia (Siti Nurnasyitah) tetap belajar bersungguh-sungguh dan bersekang mata di tengah malam bagi mengulang kaji pelajaran.
“Meskipun berdepan cabaran belajar secara dalam talian dalam tempoh lama namun tidak menghalang Siti untuk terus fokus. Alhamdulilah, hasil usaha berterusan, dia berjaya mendapat keputusan cemerlang,” katanya.
Tambah Zuliana, meskipun tidak mewah namun
perniagaan ayam golek yang diusahakan bersama suami sejak lima tahun lalu itu cukup membantu menampung perbelanjaan keluarga serta pendidikan anak-anak.
“Alhamdulilah, keputusan cemerlang yang diperolehi oleh anak saya itu cukup membuatkan kami sekeluarga gembira. Tidak sangka anak saya memperolehi 8A kerana sasaran awal Siti sebelum ini hanya 5A,” katanya. –UTUSAN ONLINE
https://www.utusan.com.my/berita ... siti-cemerlang-spm/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|