|
Lee Zii Jia (kiri) dan Loh Kean Yew.
KUALA LUMPUR: Pertembungan antara Lee Zii Jia dan Loh Kean Yew pada suku akhir Terbuka Indonesia esok harus dirumuskan sebagai pertarungan antara dua juara.
Ini kerana jaguh perseorangan negara, Zii Jia memegang status sebagai juara Asia manakala Kean Yew dari Singapura muncul juara dunia tahun lalu.
Kedua-duanya mara ke kelompok lapan terbaik hari ini dengan Zii Jia menundukkan Sameer Verma dari India 21-10, 21-13 dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung di Stadium Istora Senayan, Jakarta manakala Kean Yew mengatasi pemain Perancis, Toma Junior Popov 21-16, 21-9.
Kali terakhir, kedua-dua pemain bertemu adalah ketika saingan peringkat kumpulan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), Februari lalu dengan kemenangan memihak kepada Zii Jia.
Zii Jia yang menghuni ranking nombor lima dunia, berkata prestasinya semakin baik dan sudah bersedia untuk turun berdepan Kean Yew yang disifatkan bakal menjadi perlawanan yang sukar.
"Jika anda lihat prestasi saya dalam perlawanan pusingan pertama (ketika menentang pemain Thailand, Sitthikom Thammasin), saya agak bergelut di awal permainan. Namun, hari ini prestasi saya semakin baik.
"Diharapkan saya dapat mengekalkan momentum ini kerana akan bertemu lawan (Kean Yew) yang sukar esok. Saya akan buat persiapan dan berikan yang terbaik.
"Saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenai perlawanan itu sebaliknya saya mahu menikmati perlawanan dan kekal fokus," katanya.
Apapun, pertembungan itu turut menjadikan peminat di Indonesia dalam dilema kerana mahu sokong Zii Jia atau Kean Yew?
Bukan rahsia lagi apabila masing-masing adalah 'pujaan hati' peminat badminton di negara berkenaan sekali gus pasti akan membuatkan mereka 'pening kepala' untuk memilih siapa yang perlu diberikan sokongan dalam misi kedua-duanya memburu tiket ke separuh akhir.
Sebelum ini, penonton yang sentiasa membanjiri Istora Senayan akan memberi sokongan padu kepada kedua-dua pemain berkenaan jika mereka tidak turun beraksi menentang wakil tuan rumah.
Sementara itu, beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas mengatasi pasangan Belanda, Ruben Jille-Ties Van Der Lecq 21-17, 16-21, 21-6.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu akan berdepan pemenang perlawanan antara pilihan keempat dari Taiwan, Wang Chi Lin-Lee Yang dengan pasangan Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan bagi merebut tempat ke separuh akhir.
Saingan beregu campuran pula menyaksikan dua wakil negara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei dan Chen Tang Jie-Valaree Siow mengesahkan tiket ke kelompok lapan terbaik.
Pang Ron-Ee Wei mara selepas menewaskan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie 21-19, 21-19 manakala Tang Jie-Valeree tidak perlu bermandi peluh apabila lawan mereka yang juga pilihan kelima kejohanan dari Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti menarik diri sekali gus diberi kemenangan percuma.
Buruan tempat ke separuh akhir menyaksikan Pang Ron-Ee Wei dijadual menentang beregu Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung sementara Tang Jie-Valeree bertemu pasangan China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping yang mara dengan menewaskan satu lagi beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See 21-11, 21-14.
Nasib tidak menyebelahi tiga lagi wakil negara iaitu dua beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien selain beregu campuran, Soong Joo Ven-Goh Liu Ying yang terkandas di pusingan kedua selepas tewas di tangan lawan masing-masing.
https://www.bharian.com.my/sukan ... tembungan-dua-juara |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|