View: 735|Reply: 0
|
Bagnaia bangkit kuasai GP Itali
[Copy link]
|
|
Francesco Bagnaia bangkit daripada ketinggalan untuk memenangi perlumbaan GP Itali di Litar Mugello sebentar tadi.
Bagnaia bangkit kuasai GP Itali
SAN PIERO – Pelumba pasukan Ducati, Francesco Bagnaia menampilkan tunggangan cemerlang untuk memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) Itali yang berlangsung di Litar Mugello sebentar tadi.
Meskipun berada di bahagian belakang selepas memulakan saingan di petak kelima, namun pelumba Itali itu kekal tenang apabila memintas seorang demi seorang pelumba di hadapan sebelum memimpin perlumbaan.
Walaupun diberikan saingan oleh juara dunia dari pasukan Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo, namun kelebihan yang dimiliki jentera GP22 di laluan lurus memastikan Bagnaia mengekalkan kedudukan di bahagian hadapan.
Quartararo yang cuba merapatkan kedudukan pada empat pusingan terakhir bagaimanapun tampak berputus asa untuk mengejar Bagnaia, sekali gus akur menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
“Sudah tentu sesuatu yang hebat untuk memenangi perlumbaan di laman sendiri. Saya fikir kami berhak untuk menang hari ini kerana sudah bekerja keras sepanjang saingan minggu.
“Permulaan saya tidak cukup baik hari ini gara-gara isu brek tetapi ia dapat diperbaiki semasa perlumbaan. Saya sangat gembira untuk menang di Mugello,” kata Bagnaia sejurus tamat perlumbaan.
Sebagai rekod, ia merupakan kemenangan kedua dilakar Bagnaia dalam saingan musim ini selepas turut memenangi perlumbaan pada GP Sepanyol di Litar Jerez awal bulan ini.
Mengiringi Bagnaia dan Quartararo di podium adalah pencabar kejuaraan dunia musim ini dari pasukan Aprilia, Aleix Espargaro yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.- KOSMO! ONLINE
Sumber:https://www.kosmo.com.my/2022/05 ... it-kuasai-gp-itali/
|
|
|
|
|
|
|
| |
|