|
Suk Won (kanan) menamatkan kontrak bersama Kedah bagi membolehkannya menjalani rawatan pemulihan akibat kecederaan.
ALOR SETAR: Pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dari Korea Selatan, Jang Suk Won menjadi pemain import pertama yang mengucap selamat tinggal kepada skuad Sang Kenari sebaik jendela perpindahan kedua Liga Malaysia dibuka hari ini.
Menerusi pengumuman yang dibuat di laman rasmi KDA FC hari ini, Suk Won yang beraksi di bahagian pertahanan dan tampil beraksi 10 kali Liga Malaysia bersama skuad Sang Kenari bersetuju menamatkan kontrak secara bersama bagi membolehkannya mendapat rawatan jangka panjang.
"Terima Kasih Jang Suk Won, biar jasa jadi kenangan. KDA FC dan Jang Suk Won telah mencapai persetujuan untuk penamatan kontrak lebih awal selepas mempertimbangkan permohonan pemain tersebut untuk mendapat rawatan pemulihan jangka panjang.
"Walaupun bermula baik di saingan awal Liga Super, beberapa siri kecederaan pemain dan bergelut dengan prestasi semasa, slot kuota Asia akan diisi oleh pemain baharu dalam masa terdekat.
"Beliau kembali ke Korea Selatan semalam dan sempat mengucapkan salam perpisahan bersama rakan sepasukannya," menurut kenyataan itu.
Menurut KDA FC lagi, Suk Won tetap akan dikenang sebagai pemain Korea Selatan yang ketiga bersama pasukan selepas dua lagi bekas pemain iaitu Bang Seung Hwan dan Namkung Wong yang turut pernah bersama Kedah beberapa musim lalu.
Kedah pernah menggunakan khidmat pemain Korea Selatan Namkung Wong pada musim 2014 manakala Bang Seung Hwan pula menyertai Kedah bermula musim 2015 hingga 2016.
Manakala tanda tanya status empat lagi pemain import musim ini iaitu Marc Vales, Dechi Marcel, Dennis Buschening dan Ronald Ngah masih dinantikan penyokong pada jendela perpindahan kedua musim ini yang bermula hari ini hingga 24 Jun depan.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|