GEORGETOWN: Pagi tadi, Azizan Ishak berasa tidak sedap hati hendak berniaga ayam di pasar dan terus ke kedai kopi untuk minum bersama rakan.
Bagaimanapun, ketika minum, seorang rakannya memaklumkan menerima mesej menerusi aplikasi Whatsap mengenai kemalangan membabitkan mangsa lelaki di Jambatan Pulau Pinang dan beralamat di Kampung Pajak, Baling, Kedah.
Luluh hatinya, rupa-rupanya mangsa berkenaan adalah anaknya, Muhammad Amirrudin, yang terbunuh dalam kemalangan lori dan treler di Jambatan Pulau Pinang jam 5 pagi tadi.
"Entah kenapa hari ini saya rasa tidak sedap hati dan tidak dapat berniaga ayam di pasar, sebelum ke kedai kopi berhampiran untuk minum kira-kira jam 7 pagi.
"Kelmarin, dia berkata kepada ibunya sudah lama tiada kematian (di kampung itu) dan hendak menggali kubur, tidak sangka rupa-rupanya dia yang hendak 'pergi'.
"Sudah tiada lagi penghibur dalam keluarga, saya reda dengan ketentuan Allah dan kedua-dua jenazah (mangsa) dijangka disemadikan pada malam ini di tanah perkuburan berhampiran Kampung Pajak selepas selesai urusan bedah siasat, " katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang.
Turut terkorban ialah rakan Muhammad Amirrudin, Mohd Fazrol Maarof, 39 yang memandu lori berkenaan juga dari kampung sama.
Muhammad Amirrudin adalah anak keenam daripada tujuh beradik.
Mereka dalam perjalanan dengan lori tiga tan menghantar serai ke bahagian pulau ketika kejadian, melanggar sebuah treler yang berhenti di atas jambatan berkenaan.
Azizan, 62, berkata sebelum keluar rumah pagi tadi anaknya itu sempat bersalam dengan ibunya dan meminta maaf.
Azizan berkata, anaknya sudah dua tahun bekerja sebagai penghantar serai milik sebuah syarikat ke Pulau Pinang dengan menaiki lori yang dipandu Mohd Fazrol.
"Biasanya dia keluar dari rumah pada jam 1 pagi, tetapi hari ini sebelum bertolak, dia bersalam dengan ibu (Saerah Salleh, 53) serta meminta maaf namun ibunya tidak mengesyaki apa-apa.
Katanya, Muhammad Amirrudin adalah seorang anak yang rajin dan mengutamakan waktu solat serta menjadi penghibur dalam keluarga.
Malah, katanya, Muhammad Amirrudin bekerja keras kerana mahu mengumpul wang bagi membaiki motosikalnya untuk kegunaan harian.