View: 628|Reply: 0
|
Mayat dibersihkan mengeluarkan bunyi
[Copy link]
|
|
Mayat dibersihkan mengeluarkan bunyi
Aslindah (kiri) dan Che Che Nur Naily yang sama-sama bertugas di bawah satu bumbung, di Pantai Hospital Ayer Keroh.
Kuala Lumpur: "Pengalaman berdepan detik mendebarkan apabila mayat yang sedang dibersihkan saya dan bersama rakan setugas mengeluarkan bunyi ketika jasadnya dialihkan ke bahagian sisi.
"Ketika itu, dua pembantu jururawat terus berlari keluar meninggalkan bilik pengurusan mayat.
"Berikutan insiden itu, saya juga cuti sakit tiga hari kerana demam terkejut.
"Sebenarnya, insiden itu berlaku disebabkan sebelum mati pesakit dimasukkan oksigen. Kemudian oksigen ada di dalam perut dan apabila mayat dialihkan pada kedudukan mengiring ia mengeluarkan bunyi," katanya.
Kejadian itu antara kisah dan asam garam tugasan dilalui Aslindah Abu Said, 44, ketika pada awal pembabitannya dalam bidang kejururawatan di sebuah hospital, suatu ketika dahulu.
Kini, beliau bertugas sebagai jururawat klinikal Pantai Hospital Ayer Keroh, menegaskan bidang kejururawatan amat istimewa kerana memberikan pelbagai pengalaman indah dalam memberikan khidmat perubatan kepada masyarakat.
Malah, kerjaya berkenaan juga menarik minat anaknya, Che Nur Naily Che Azahar, 22, yang bertugas sebagai jururawat terlatih di unit rawatan rapi (ICU) menceburi bidang dan di hospital yang sama.
'Ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Pepatah ini bertepatan mengenai kisah dua beranak ini yang menceburi bidang pekerjaan sama di bawah satu bumbung.
Biarpun sebumbung, namun akui kedua-duanya, amat jarang bersua muka di hospital berikutan bertugas di unit rawatan berbeza dan hanya dapat bertentang mata di rumah.
Bagi Aslinda yang mula menceburi kerjaya jururawat sekitar 1995, mengakui pengalaman kerja diperoleh itu meletakkannya pada kedudukan hari ini.
"Saya pernah berkhidmat selama lima tahun di Jeddah, Arab Saudi sebelum pulang ke tanah air dan memasuki perkhidmatan beberapa hospital swasta.
"Dalam tempoh 20 tahun ini saya berpeluang menyambung pengajian dan kini bergelar pakar penjagaan luka atau pada umumnya jururawat klinikal.
"Sebagai jururawat, memang perlu ada kekuatan mental, fizikal emosi untuk berdepan pelbagai ragam pesakit terutama apabila pesakit memerlukan rawatan rapi. Lebih penting, apabila bertugas apa juga masalah peribadi perlu diketepikan dan fokus kepada tanggungjawab merawat," katanya.
Pada belasan tahun lalu juga, cabaran kerja amat berbeza berikutan dahulu fasiliti kesihatan menggunakan manual (periksa tekanan darah) , tetapi kini segala sudah canggih dengan kelengkapan mesin selain pesakit sekarang banyak terdedah media sosial, internet, telefon pintar yang memerlukan jururawat lebih pakar dan berpengetahuan.
Justeru, apabila anak sulung bersungguh mahu menuruti jejak langkah, Aslinda memintanya berfikir beribu kali kerana bidang kejururawatan ini tidak mudah seperti disaksikan di depan mata.
"Saya katakan kepadanya, jadi jururawat ini perlu kuat segala aspek, jadi pertimbangkan masak-masak supaya di kemudian hari tidak timbul rasa tidak minat atau sewaktu dengannya.
"Namun, apabila anak tetap juga bersungguh mahu menjadi jururawat dan melihat saya sebagai mentor, saya sebagai ibu menyokong penuh dan sedia berkongsi pengalaman dengannya," katanya.
Dari kira Che Nur Naily dan Aslindah bersama keluarga yang sentiasa memberi sokongan dalam kerjaya dua beranak ini.
Sementara itu, Che Nur Naily, berkata beliau mendapat inspirasi melihat karisma ibu yang cekap menguruskan kerjaya dan keluarga dalam masa serentak, justeru memupukkan minatnya memilih kerjaya sama dengan langkah pertamanya melanjutkan pengajian diploma di kolej kejururawatan swasta.
"Sebaik tamat pengajian, Alhamdulillah, kini enam bulan saya bekerja di ICU di hospital ini.
"Biarpun ketika melanjutkan pengajian, ia mungkin satu proses biasa dilalui untuk kerjaya pada masa depan dan apabila menceburi bidang ini, barulah minat menjadi jururawat betul-betul dirasai.
"Bidang kejururawatan ini luas dan sentiasa mempunyai peluang untuk pergi lebih jauh. Misalnya, dalam masa enam bulan ini, banyak perkara baru dipelajari contohnya prosedur bantuan pernafasan kecemasan (CPR), ia kaedah berbeza berikutan ketika belajar dilakukan ke atas patung tetapi sekarang dilakukan terus kepada pesakit.
"Namun, apa sahaja perkara sukar berjaya di atasi kerana ia tanggungjawab merawat pesakit dan pengalaman itu mendewasakan saya untuk menjadi lebih baik," katanya.
Che Nur Naily, berkata beliau berhasrat melengkapkan kepakaran dalam bidang ICU dalam tempoh tiga tahun untuk anjakan paradigma kerjaya ke peringkat lebih tinggi.
Sumber:https://www.bharian.com.my/wanit ... -mengeluarkan-bunyi
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|