|
SELEPAS mengejutkan Thailand dalam aksi pembukaan, Sabtu lalu, Malaysia bersedia memburu kemenangan kedua dalam saingan Kumpulan B, Sukan SEA 2021 apabila menentang Laos di Stadium Thien Truong, Nam Dinh malam ini. – IHSAN FAM
PETALING JAYA: Brad Maloney tidak mahu pertemuan menentang Laos malam ini menjadi medan ‘balas dendam’ kerana yang penting bagi pengendali skuad Malaysia bawah 23 (B-23) itu hanyalah mengutip tiga mata bagi mengukuhkan kedudukan pendahulu Kumpulan B, bola sepak Sukan SEA Vietnam.
Begitupun bagi pemain-pemain negara, aksi di Stadium Thien Truong, Nam Dinh adalah peluang terbaik untuk menumpaskan lawan yang mengecewakan mereka dalam Kejuaraan AFF B-23, Februari lalu.
Tonggak pertahanan negara, Harith Haikal Adam Afkar menegaskan, dua kali kalah dikalahkan oleh Laos dalam kempen Piala AFF B-23 masih meninggalkan kesan mendalam dan membuatkan mereka lebih berwaspada berdepan skuad bimbingan Michael Weiss.
“Kali ini kami sudah bersedia. Kehadiran beberapa pemain utama memberikan kekuatan kepada pasukan, walaupun mereka (Laos) kuat tapi kami yakin mampu menang.
“Perkara paling menarik, kami memenangi perlawanan pertama (mengalahkan Thailand 2-1), semoga pingat emas mampu diraih,” ujar pemain kelahiran Klang, Selangor.
Malaysia
PEMAIN Malaysia gagal menyaingi Laos dalam perlawanan kedua Kumpulan B, Kejohanan AFF Bawah 23 di Kemboja, Februari lalu.
Pemain tengah yang terkenal dengan julukan Kaka Malaysia, Nur Azfar Fikri Azhar pula melaungkan amaran betapa dia tidak gentar untuk berdepan Laos.
Menurut bintang Terengganu FC II itu, hanya kemenangan dapat melunaskan ‘hutang lama’ kalah kepada lawan di Phnom Penh, Kemboja.
“Kita akan jumpa Laos sekali lagi. Pada Kejuaraan AFF kita kalah dua kali dengan mereka, jadi kali ini akan ‘langgar’ sahaja.
“Ini juga adalah misi balas dendam, sebab semasa kita kalah (di Kemboja) kita amat sedih, jadi kali ini jumpa lagi Laos nak balas dendam betul-betul,” katanya.
https://www.utusan.com.my/sukan/2022/05/kami-mahu-balas-dendam/ |
|