|
PEMAIN tengah Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo menjadi sandaran utama apabila berdepan Sarawak United. -FOTO Ihsan Sri Pahang
Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Christophe Gamel akan melakukan segalanya untuk mencatat kemenangan ke atas Sarawak United apabila kedua-dua bertemu di Stadium Darul Makmur, malam esok.
Jurulatih berasal dari Perancis itu berkata, biarpun prestasi Sarawak United tidak konsisten apabila berada di kedudukan dua tercorot Liga Super, ia belum menjamin keputusan yang akan berpihak kepada Sri Pahang.
"Saya jangkakan Sarawak United akan berjuang dengan bersungguh-sungguh kerana kebanyakan pasukan yang berdepan Sarawak bergelut untuk menewaskan pasukan itu.
"Oleh itu, misi kami mahu memenangi perlawanan ini dan perlu fokus selain mengelakkan kesilapan seperti yang kami lakukan pada perlawanan sebelum ini.
"Saya harap semua pemain dapat membentuk persefahaman mantap dan tidak mempersia-siakan segala peluang yang dimiliki untuk mengutip tiga mata," kata jurulatih berumur 50 tahun itu.
Ditanya sama ada dua pemain import, Billy Ketkeophomphone dan Mahmoud Za'tara akan disenaraikan malam esok, beliau tidak dapat mengesahkannya.
Katanya, tahap kecederaan Ketkeophomphone dan Za'tara akan diketahui pada hari perlawanan.
"Saya tidak dapat memastikan dua pemain import ini akan dapat bermain atau tidak kerana ia bergantung kepada tahap kecederaan dan kecergasan.
"Apa yang boleh saya sahkan ialah Abdul Malik Mat Ariff tidak dapat disenaraikan kerana digantung satu perlawanan selepas mengutip tiga kad kuning.
"Biarpun Abdul Malik memberi sedikit impak kepada pasukan, saya harap pemain yang menggantikan posisi dapat bermain dengan bagus," katanya.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... udah-sarawak-united |
|