|
Pemain Kl City, Romel Morales (kanan) berebut bola dengan pemain Pahang, Manuel Hidalgo pada aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. - FOTO FB KL City
KUALA LUMPUR: Sri Pahang FC (SPFC) melakar kemenangan pertama di tempat lawan selepas menumbangkan juara Piala Malaysia, KL City FC 2-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Selepas tewas 1-0 di tangan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman dan 3-1 di tangan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kunjungan ke Cheras menghadiahkan kemenangan kedua buat skuad Tok Gajah musim ini.
Keputusan itu turut menyaksikan skuad 'Warga Kota' tewas buat kali keempat dan lebih perit, dua kekalahan berturut-turut selepas 'dihentak' Negeri Sembilan 2-1 pada aksi terakhir.
Sri Pahang berjaya mendahului dengan gol cantik pada minit ke-32 - rembatan deras bak peluru Nor Azam Azih menewaskan Kevin Mendoza untuk jaringan ketiganya dalam Liga Super musim ini.
Penjaga gol Sri Pahang, Mamadou Samassa terus cemerlang memastikan gawangnya tidak 'ternoda' dan selepas menafikan dua percubaan KL City FC yang terdahulu, dia menepis pula sepakan percuma Paulo Josue pada minit ke-42.
Pelawat terus melebarkan jurang pada minit ke-77 menerusi sepakan penalti Manuel Hidalgo namun kesilapan Samassa yang gagal menangkap bola dengan kemas dihukum Josue yang mengurangkan defisit gol pada minit ke-85.
Selepas ini, KL City akan berdepan pasukan di tangga tercorot, Penang FC sementara Sri Pahang pula akan menentang satu lagi pasukan di zon penyingkiran, Sarawak United.
https://www.bharian.com.my/sukan ... ahang-takluk-cheras |
|