|
Pemain Kedah meraikan jaringan Ngah Wanja (tengah) ketika menentang Melaka United pada aksi Liga Super kelmarin.
KUALA LUMPUR: Apa sudah jadi dengan salah satu pencabar kejuaraan Liga Super musim ini, Kedah Darul Aman (KDA) FC?
Cemerlang pada awal musim dengan tiga kemenangan berturut-turut, skuad Kenari kini menunjukkan persembahan ibarat pasukan di zon penyingkiran dengan tiga kekalahan dalam empat perlawanan terakhir.
Lebih membimbangkan, kekalahan yang dilakar anak buah Aidil Sharin Sahak itu menyaksikan mereka menjadi 'lubuk gol' bermula dengan keputusan 4-1 di tangan Selangor FC dan 4-0 dengan Sabah FC.
Kekalahan terbaru di laman sendiri kelmarin jelas memberi tamparan paling hebat buat Kedah yang gagal menyekat kebangkitan Melaka United selepas dikecewakan jaringan minit akhir Ifedayo Olusegun.
Dengan tiga lagi gol yang 'disedekahkan' kepada skuad Kancil, Kedah kini muncul pasukan paling banyak 'dinodai' dengan 14 gol, terikat bersama pasukan di zon penyingkiran, Sarawak United.
Tiga kekalahan daripada tujuh perlawanan - satu pencapaian yang tidak seharusnya dilakar oleh pasukan yang dicanang sebagai antara yang mampu mencabar JDT dalam perebutan saingan Liga Super.
Mereka terikat 12 mata dengan skuad Harimau Selatan namun JDT ada tiga perlawanan dalam tangan - bermakna Kedah berpotensi ketinggalan 'bertiang-tiang' jika JDT menang semua perlawanan dalam tangan.
Persembahan 'lemau' ini juga pasti mencetuskan persoalan utama khususnya mengenai kedudukan Aidil selaku pengendali dan sejauh mana pengurusan dapat bertahan dengan prestasi tidak menentu pasukan ketika ini?
Malah, menyusur komen penyokong setia Kedah di laman media sosial sudah menunjukkan 'bunga-bunga' betapa mereka tidak berpuas hati dengan 'hidangan' yang disajikan kepada mereka khususnya dalam empat perlawanan terakhir.
Jika Melaka hanya mampu menunggu selama empat perlawanan sebelum 'bercerai' dengan Risto Vidakovic manakala Penang FC pula mengarahkan Tomas Trucha mengambil cuti rehat selepas enam perlawanan, pengurusan Kedah pula bagaimana?
Dengan kualiti persembahan yang jelas tidak memuaskan apatah lagi bersaing di Liga Super pun sudah 'semput, jadi sejauh mana mereka mampu memberi saingan di Piala AFC bulan depan?
Apapun, penilaian secara adil perlu dilakukan dengan Aidil tidak seharusnya dipersalahkan 100 peratus atas kekalahan terbaru memandangkan 'dosa' sepatutnya ditanggung oleh pemain yang beraksi.
Benar pemilihan pemain dan taktikal dicatur oleh pengendali dari Singapura itu namun dia tiada di atas padang untuk menyumbat gol mahupun menghalang Melaka daripada merobek gawang Kedah.
Malah, Aidil sendiri turut meluahkan kekecewaannya apabila anak buahnya dilihat leka sehingga membuka ruang pihak lawan melakukan asakan sehingga dibolosi pada minit akhir meskipun dua kali berjaya memimpin perlawanan.
"Melepaskan kemenangan pada perlawanan ini adalah sesuatu yang saya tidak boleh terima dan saya fikir kami menghadapi masalah kesilapan individu dan kami belum belajar daripada kesilapan lalu dengan membiarkan pihak lawan mendapatkan gol.
"Sepatutnya kami perlu menyekat lawan sebaik mendahului 2-1 namun kami pula hilang fokus selepas Melaka menyamakan kedudukan.
"Kami patut salahkan diri sendiri di atas kesilapan ini dan inilah yang saya selalu katakan bola sepak adalah 90 minit perlawanan dan disebabkan kami tidak fokus serta ambil mudah pada malam ini, kami dihukum," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan ... pa-sudah-jadi-kedah |
|
|
|
|
|
|
| |
|