Sumber IG Dahlia
Hampir lapan tahun menggalas tanggungjawab sebagai penerbit dan pengacara program Hlive, Dahlia Shazwan akhirnya membuat keputusan untuk mengundurkan diri daripada rancangan televisyen tersebut.
Pengumuman tersebut dibuat oleh wanita berkenaan menerusi hantaran baharu di Instagram berserta suntingan video yang menggabungkan beberapa rakaman memaparkan dirinya yang sedang bekerja sama ada di hadapan kamera serta di belakang tabir.
"Mengucapkan selamat tinggal kepada kehidupan lapan tahun sebagai pengacara dan penerbit untuk Thinker Studios dan Hlive. Saya bersyukur dengan perjalanan yang Allah berikan sama ada dalam susah mahu pun senang. Selamat tinggal semua. Saya undur diri," tulisnya.
Dahlia bagaimanapun tidak menyatakan perancangannya selepas meninggalkan Hlive sama ada berpindah ke program televisyen lain atau pun memberikan tumpuan mengembangkan perniagaan pakaiannya.
Pemilik nama sebenar, Dahlia Shazwan Mohd Amin yang berusia 34 tahun itu adalah salah seorang pengacara pertama yang menyerikan program Hlive tayangan di saluran Astro Ria. Dia juga adalah peserta program realiti TV On Air musim pertama pada tahun 2012.
Selain kerjayanya sebagai pengacara, Dahlia turut dikenali sebagai 'gadis Trivago' kerana impak yang dihasilkan selepas menjadi jurucakap dan muncul dalam iklan aplikasi inovasi berkenaan.
Anak ketiga daripada lima adik beradik itu berkahwin pada 23 Julai 2016 dengan Shafiq Ismet dan dikurniakan seorang anak perempuan yang dilahirkan pada 22 Februari 2018. -CARI
|