Lelaki warga negara Indonesia ditemukan maut selepas terjatuh dari tingkat lapan Apartment Eastern Court, Jelutong, dalam keadaan kaki kirinya dirantai di kerusi. - NSTP/Zuhainy Zulkiffli
GEORGETOWN: Proses bedah siasat terhadap mayat lelaki warga Indonesia yang kaki kirinya dirantai pada kerusi sebelum terjatuh dari tingkat lapan Apartmen Eastern Court, Lorong Hijau 8, Jelutong, di sini, semalam, akan dilakukan lusa.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, masa bagi proses berkenaan dilakukan masih belum dapat dipastikan.
"Bedah siasat akan dilakukan esok (Isnin) tetapi masa belum dapat dipastikan," katanya hari ini.
Terdahulu, media melaporkan mengenai mayat lelaki berusia 33 tahun berkenaan yang ditemukan di kawasan parkir apartmen itu pada jam 5.40 petang.
Mayat mangsa turut mempunyai kesan darah akibat kecederaan di kepala.
Mangsa bersama seorang lelaki warga tempatan berusia 52 tahun sebelum itu menyewa unit rumah di apartmen berkenaan yang dijadikan inap desa sejak 13 April lalu.
Polis kini sedang giat mengesan lelaki yang menyewa rumah berkenaan bersama mangsa, bagi membantu siasatan.