|
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/mahdzir_felcra_1649551927.jpg)
Mahdzir menyampaikan sumbangan Bakul Makanan FELCRA Prihatin pada Majlis Iftar Bersama Warga FELCRA Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, semalam. - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
PADANG TERAP: Pemimpin pada peringkat kampung dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diminta lebih agresif serta proaktif membantu masyarakat, khususnya golongan miskin, termasuk melakukan pencarian dalam usaha itu.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata tindakan itu sangat penting kerana bukan semua penduduk miskin tahu atau dapat memaklumkan kesukaran hidup mereka kepada pemimpin.
"Bawah agensi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), ada pelbagai bentuk bantuan disediakan kepada golongan miskin.
"Namun, ia juga memerlukan usaha pemimpin setempat untuk melakukan pencarian (golongan miskin supaya dapat dibantu).
"Saya bimbang, ada (orang miskin) yang tidak dapat menyampaikan maklumat mengenai mereka kepada pemimpin, kemudian tiada siapa yang ambil kisah.
"Justeru, kadang-kadang kisah mereka itu tular dalam media. Bagaimanapun, kita tetap boleh membantu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Bersama Warga FELCRA Padang Terap, di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka, di sini, malam tadi.
Mahdzir demikian ketika diminta mengulas kisah tular dalam aplikasi TikTok, Khamis lalu, mengenai seorang remaja di Kampung Banggol, Kota Bharu, Kelantan, yang hidup susah dan tinggal di rumah daif.
Wan Akid Afham Wan Mohd Ruhsemadi, 13, dilaporkan mengambil upah mencuci tandas serta karpet masjid dengan meraih pendapatan antara RM6 hingga RM7, setiap hari, demi membantu keluarga.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pelbagai program turut dilaksanakan KPLB untuk membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
"Ada kejadian rumah rosak akibat ribut dan bencana lain, atau suami meninggal dunia akibat COVID-19 dan tinggal isteri serta anak-anak di rumah sewa, ini pun ada dalam kerangka program bantuan kita.
"Di Kelantan, kita ada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), manakala di Kedah pula ada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA). Kita ada bantuan untuk baik pulih kediaman dan membina rumah baharu untuk orang miskin.
"Saya berharap ketua kampung, pemimpin masyarakat setempat serta ahli jawatankuasa masjid dapat bantu laporkan jika ada orang miskin. Insya-Allah, kita akan membantu," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... rang-miskin-mahdzir |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|