CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1046|Reply: 1

Rancang masa depan disertai 'insurans akhirat'

[Copy link]
Post time 15-3-2022 08:40 AM | Show all posts |Read mode
Rancang masa depan disertai 'insurans akhirat'


PERANCANGAN dan persediaan untuk bekalan akhirat perlu diutamakan kerana ia bersifat kekal.


Warganegara kembali diuji dengan air bah. Baru-baru ini, ia melanda sebahagian kawasan di Pantai Timur, seperti di Terengganu dan Kelantan, yang menjejaskan ramai penduduk di sana. Kelmarin, warga kota Kuala Lumpur pula diuji perkara sama.

Ada sebahagian tempat yang tidak pernah terjangkau dek akal manusia akan dilimpahi air banjir, berlakunya banjir di sana. Bagi hukum dunia, kita mungkin boleh mengandaikan dan memberikan pelbagai teori dan sebab terjadinya musibah ini.

Maka, bagi yang mengaku beriman, pastikan akan mengakui dan menyandarkan semua perkara ini kepada kehendak Yang Maha Berkuasa. Sesiapa sahaja tidak mungkin menafikan perbuatan-Nya dan kepada Dia-lah kita kembali. Sandaran ini banyak disebut dalam al-Quran al-Karim sebagaimana firman Allah: "Dan sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran)-Nya, engkau lihat bumi itu kering dan tandus, maka apabila Kami turunkan hujan di atasnya, nescaya ia bergerak dan subur. Sesungguhnya (Allah) yang menghidupkan bumi dan pasti dapat menghidupkan yang mati, sesungguhnya Dia Maha Berkuasa." Surah al-Fussilat ayat 39

Antara harta benda milik orang awam yang terzahir jelas mengalami kerosakan dan kemusnahan ialah kenderaan. Hujan lebat yang berterusan dengan kadar yang luar biasa telah mengakibatkan air naik di sebahagian kawasan ibu kota yang dikaitkan dengan banjir kilat.

Terdapat kawasan yang airnya begitu deras sehinggakan masyarakat reda dan pasrah meninggalkan kenderaan mereka ditenggelami bah demi menyelamatkan nyawa yang lebih berharga. Sehingga warganet sempat berkongsi tangkap layar dan video pendek di mana ada yang berada di atas bumbung kereta menunggu mereka diselamatkan. Keadaan ini mengundang perasaan sedih kerana kerosakan yang dialamai dan ada segelintir mereka juga masih belum hilang trauma mengenai kejadian banjir sebelum ini, lalu diuji lagi. Tidak dinafikan, jumlah pembaikan ini akan menelan ribuan ringgit.

Maka, timbullah golongan yang mempunyai kesedaran tinggi bagi menyarankan orang ramai lebih bersedia untuk masa hadapan mereka dengan membeli insurans atau takaful bencana alam.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, insurans ialah perjanjian tanggungan yang dibuat sesebuah syarikat untuk mengganti kerugian dan bayaran premium tertentu, cumanya takaful ada sedikit perbezaan berbanding insurans biasa di mana ia didasari akad yang dibenarkan hukum syarak. Secara umumnya, apabila seseorang mengambil insurans atau takaful untuk harta dimiliki, jika berlaku kerosakan pada harta tersebut, mereka tidak perlu memikirkan kos pembaikan ganti rugi yang mungkin menelan perbelanjaan besar ditanggung mereka disebabkan kemalangan, kebakaran, bencana alam dan lain-lain. Dalam erti kata lain, mereka hanya mengeluarkan sedikit wang di peringkat awal, iaitu semasa pembelian insurans atau takaful itu.

Penulis secara peribadi tidak mahu mengupas isu mengenai insurans atau takaful secara mendalam. Sebaliknya, idea yang penulis ingin lontarkan yang terlintas di benak fikiran ialah perancangan masa hadapan, tatkala manusia begitu peka dan mengambil berat soal dunia mereka dengan berfikir sejauh itu untuk menyelesaikan segala urusan harian mereka. Boleh dikatakan future planning bagi perkara dunia dipandang serius dan dirancang untuknya dengan sangat rapi dan tersusun supaya tidak mengalami kerugian akan datang.

Apabila kita merenung dan mengamati seketika, bagaimana pula perancangan atau insurans kita untuk memasuki alam akhirat nanti atau bertemu Tuhan Maha Agung kelak? Jika manusia membuat segala macam persediaan untuk dunia, apakah pula persediaan untuk akhirat mereka? Sedang akhirat itu lebih perlu diutamakan dan bersifat kekal.

Firman Allah SWT: "Dan kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan gurau senda belaka. Sedangkan akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Tidakkah kamu mengerti?" Surah al-An'am ayat 32

Dalam ayat lain: "Padahal kehidupan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal." Surah al-'Ala ayat 17

Apa yang boleh diperkatakan di sini ialah persediaan seseorang dalam melakukan amal soleh bagi menghadapi akhirat nanti. Selain itu, penulis hendak kaitkan dengan amalan yang mudah dilaksana atau ibadah yang memerlukan sedikit usaha sahaja atau boleh diterjemahkan dengan ibadah simple sebagaimana ditunjukkan syarak, tetapi ganjaran pahalanya berlipat kali ganda dan besar di sisi Allah SWT. Inilah yang kita dapat katakan sebagai 'insurans akhirat' nanti yang boleh dibawa bertemu Rabb al-Jalil sebagai 'gantian' atau 'tuntutan' di sana kelak.

Contohnya, apabila seseorang mengerjakan solat fardu secara berjemaah, Allah akan mengurniakan 27 darjat, berbanding solat bersendirian seperti disebut di dalam hadis. Solat sunat rawatib, iaitu solat sunat mengiringi solat fardu sama ada sebelum dan selepas, ganjarannya, akan dibina bagi seseorang yang menjaganya sebuah rumah di syurga. Begitu juga solat sunat sebelum fardu Subuh yang mana besarnya pahala diibaratkan lebih baik daripada dunia ini dan seisinya. Bagi ibadah puasa, contohnya puasa sunat Asyura' di mana dinukilkan dalam Hadis Riwayat Imam al-Tirmizi bahawa akan diampunkan bagi pelakunya dosa setahun yang lepas.

Jika puasa sunat Arafah atau puasa pada 9 Zulhijjah, walaupun dilakukan sehari sahaja, tetapi ganjarannya ialah diampunkan dosa setahun yang lalu dan akan datang. Hadis riwayat Imam Muslim

Selain itu, ada juga dalam amalan lain, sama ada sama jenis atau berlainan jenis amalan yang penulis tidak dapat menyatakan kesemuanya di sini, yang mempunyai dalil jelas dalam mengisyaratkan hal yang sama.

Jadi gunakan akal kita untuk berfikir dan bertadabbur sejenak, bahawa tersangatlah rugi bagi seorang mukmin jika melepaskan peluang keemasan tersebut. Dalam keghairahan kita memikirkan hal dunia dengan begitu detail, selayaknya akhirat lebih daripada itu. Dunia ini ialah jambatan akhirat. Semoga kita diberi taufiq oleh-Nya untuk berlumba-lumba mengerjakan segala amalan soleh. Moga ia dianggap sebagai perancangan kita dalam menyediakan 'insurans akhirat' pada hari yang tiada penyesalan lagi kelak. Jika bersedih disebabkan kerugian dunia, ia akan berakhir jua dan mungkin sempat mencari ganti, akan tetapi bersedih disebabkan kerugian akhirat, maka tiadalah berguna lagi kerana manusia tidak mungkin dikembalikan lagi.



Penulis Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Pusat Asasi dan Pengajian Umum, Kolej Universiti Islam Melaka

https://www.hmetro.com.my/addin/ ... ai-insurans-akhirat

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 15-3-2022 02:11 PM From the mobile phone | Show all posts
Perkataan "insuran" untuk keuntungan akhirat itu nampak hina. Tuhan kata "perniagaan."
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-12-2024 01:02 PM GMT+8 , Processed in 0.043490 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list