![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220220/whatsappimage2022-02-19at2229092.jpeg)
Abang Johari (tengah) bersama Uggah (kanan) dan Fadillah merakamkan kenangan sambil menunjukkan tanda bagus dengan siapnya pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Jajaran Seksyen Nyabau Kontrak Pakej Kerja 10.
BINTULU: Pembangunan rangkaian jalan raya merupakan satu keperluan serta elemen penting untuk menggerakkan ekonomi dan infrastruktur Sarawak, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, rangkaian jalan raya yang baik akan membawa impak berganda terhadap sektor lain termasuk hartanah, estet, perindustrian dan perbandaran sekali gus memberi kesan signifikan kepada masyarakat setempat.
Justeru, beliau yakin Lebuhraya Pan Borneo apabila siap kelak akan membawa impak yang besar kepada negeri ini, khususnya dari segi pembangunan sosioekonomi rakyat.
"Dengan adanya sistem jaringan lebuh raya yang baik, projek ini mampu menarik minat syarikat asing untuk melabur di Sarawak, seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan termasuk di kawasan perindustrian Bintulu," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Jajaran Seksyen Nyabau Kontrak Pakej Kerja (WPC) 10 di Kawasan Parkir Shin Yang New Commercial Shoplot Bintulu, pada Sabtu.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk John Sikie Tayai dan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Abang Johari berkata, sebagai kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, kerajaan pimpinan beliau tidak pernah berhenti melaksanakan agenda pembangunan untuk rakyat.
"Lebuhraya Pan Borneo Fasa Satu yang akan siap pada hujung tahun ini dan kita berterima kasih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) persekutuan dan negeri serta agensi lain atas usaha ini," katanya.
Menuju aspirasi Sarawak maju pada tahun 2030 katanya, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah merancang pembangunan ekonomi secara strategik dengan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur.
"Saya amat yakin dengan dasar kita yang berpandangan jauh, pembangunan ekonomi negeri mampu kita bawa ke tahap yang lebih tinggi dan peningkatan kepada pendapatan rakyat," katanya.
Menurutnya lagi, dengan siapnya Jajaran Nyabau ini bukan sahaja memendekkan masa di jalan raya kerana perhubungannya telah dipertingkatkan, malah memberi suasana pemanduan yang lebih baik dan selesa kepada pengguna lebuh raya.
Beliau turut berterima kasih kepada Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan) yang telah memulakan projek Lebuhraya Pan Borneo ini serta disokong Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Saya tidak lupa satu pesan Adenan, jangan adakan tol di jalan raya ini semasa merasmi dan memulakan kerja di tempat ini (Pan Borneo).
"Alhamdulillah saya selaku pengganti beliau, juga rakan-rakan dari Sarawak secara kebetulan Datuk Seri Fadillah juga dari Sarawak, menyambung pembangunan yang diberi untuk Sarawak melalui Kementerian Kerja Raya (KKR)," katanya sambil menambah, Sarawak akan terus menyerlah dan membangun seperti mana dikehendaki rakyatnya.
Terdahulu, jejambat persimpangan bertingkat sepanjang 1.23 kilometer yang terpanjang di Sarawak itu telah dibuka kepada pengguna jalan raya bagi melancarkan aliran trafik di laluan menghubungkan tiga bandar di Sarawak iaitu Sibu, Bintulu dan Miri.
Persimpangan bertingkat Nyabau adalah salah satu jejambat dalam Jajaran Seksyen Nyabau Pakej Kerja 10 dari Bakun ke Niah yang dibuka untuk kegunaan awam pada 26 Januari lalu.
Kerja pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Jajaran Seksyen Nyabau telah bermula pada 1 Mac 2017 dan siap sepenuhnya pada 26 Januari 2022 dengan kos keseluruhan RM164 juta.
utusanborneo.com.my/2022/02/20 |