![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220218/kv2online.jpg)
ALBUM: Robert merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian graduan yang diraikan dalam majlis konvokesyen itu.
KENINGAU: Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik menggesa para graduan supaya terus mempertingkatkan nilai jati diri dan keberanian untuk meninjau peluang-peluang pekerjaan di semua sektor.
Katanya, nilai-nilai itu diyakini dapat membina generasi Malaysia untuk memiliki pekerjaan dengan pendapatan yang tinggi.
"Namun begitu, para graduan hendaklah ingat bahawa persaingan di luar adalah sangat hebat terutamanya pada zaman dunia tanpa sempadan ini.
"Pengetahuan, dan kemahiran yang diperolehi tidak akan berguna jika kita tidak mampu menunjukkan disiplin diri yang tinggi ketika bekerja.
"Di dunia realiti, para graduan harus berdikari dalam menyelesaikan masalah dan organisasi tempat bekerja, mempunyai perwatakan yang kuat dan berperibadi mulia, serta berupaya menghadapi apa jua situasi dan rintangan, " katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional (KV) Keningau Kali Ke-6, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Johari @ Jaibet Sabin; Timbalan Pengarah Akademik, Noorhayati Hashim @ Harun; Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Pounsin Kining; Ketua Jaminan Kualiti, Kilin Toyou dan Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) KV Keningau, Menuel Siah.
SAMPAIKAN: Robert menyampaikan sijil Diploma kepada salah seorang graduan yang diraikan dalam majlis konvokesyen itu.
Dalam pada itu, Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor turut mengingatkan graduan tentang peranan mereka terhadap pembangunan negara memandangkan mereka merupakan generasi pelapis masa hadapan.
"Sebagai sebuah negara merdeka, para graduan harus sedar bahawa sebagai generasi masa hadapan, tanggungjawab mengurus pembangunan Negara dan menentukan arah kecemerlangan negara tercinta, terletak di bahu mereka.
"Akhir kata, saya ingin berpesan kepada seluruh graduan, agar berterima kasihlah kepada mereka yang telah banyak berkorban demi kejayaan kita.
"Manfaatkan ruang dan peluang yang telah diberikan agar dapat mencipta kejayaan pada masa hadapan.
"Saya juga menyeru kepada para graduan supaya mempersiapkan diri dengan kehebatan ilmu di dada, demi mendepani realiti dunia luas yang pantas berubah, " katanya.
utusanborneo.com.my/2022/02/18 |