KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mempercepatkan kelulusan tapak tanah yang diperlukan bagi pembinaan menara telekomunikasi di negeri ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, ini antara langkah bagi mempercepatkan pembinaan menara telekomunikasi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
"Minggu depan satu mesyuarat akan diadakan untuk mempertimbangkan tapak tanah yang dikenal pasti MCMC dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
"Ini antara kerjasama yang boleh diusahakan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan menerusi MCMC supaya sasaran kita untuk mempercepatkan pembinaan menara dapat dicapai," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan dan taklimat Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), Jalan Santubong, hari ini.
Julaihi melihat teknologi yang disediakan di SDEC yang terletak di CENTEXS, Jalan Santubong. Turut kelihatan Sudarnoto dan Syeed.
Tambah Julaihi, sasaran Sarawak adalah untuk mencapai liputan penuh Internet di seluruh negeri pada 2025 dan 93.6 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk pada hujung tahun 2022.
Di bawah Program JENDELA katanya, SKMM membina 636 menara telekomunikasi dan 600 lagi menara oleh SDEC dan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).
Setakat ini katanya, SDEC telah menyiapkan 286 menara dengan 14 daripadanya mula dipasang peralatan dan selebihnya siap pada Jun tahun ini.
Mengenai lawatan tersebut, ia bertujuan melihat peranan SDEC dan CENTEXS dalam membantu inisiatif ekonomi digital Sarawak.
Taklimat mengenai SDEC disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Sudarnoto Osman, manakala taklimat CENTEXS disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Syed Mohd Hussein.
Ini merupakan lawatan kerja sulung Julaihi ke SDEC dan CENTEXS selepas dilantik sebagai Menteri Utiliti dan Telekomunikasi.
utusanborneo.com.my/2022/02/17 |