|
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Adenan Md Isa (dua dari kiri) memeriksa motosikal yang ditahan ketika Op Khas Motosikal sempena Ops Tahun Baru Cina 2022 di laluan motosikal Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang di sini. - Foto NSTP/Danial Saad
GEORGETOWN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengambil tindakan terhadap 334 penunggang motosikal kerana pelbagai kesalahan dalam operasi empat jam malam tadi.
Tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh antara kesalahan paling tinggi direkodkan dalam Op Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Juru dan Jambatan Pulau Pinang bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam tadi.
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa, berkata pihaknya juga turut mengambil tindakan mahkamah terhadap dua penunggang motosikal kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu, tiada perlindungan insurans, cukai jalan tamat tempoh dan tiada lesen memandu.
Katanya, tindakan mahkamah diambil kerana kesalahan itu amat serius dan memberi masalah kepada pemilik asal nombor pendaftaran termasuk menyukarkan proses tuntutan insurans sekiranya berlaku kemalangan.
"Siasatan kita mendapati seorang penunggang menggunakan nombor pendaftaran palsu dengan tujuan ingin mengelak membayar hutang bank," katanya pada sidang media malam tadi.
Beliau berkata dalam operasi selama empat jam itu pihaknya memeriksa 538 motosikal dan daripada jumlah itu 334 diambil tindakan dengan mengeluarkan 369 notis atas pelbagai kesalahan.
Sementara itu, Adenan berkata, dalam operasi itu juga AADK menjalankan 15 ujian saringan air kencing yang mana seorang dikesan positif dadah.
"Pada masa sama, polis turut mengambil tindakan saman terhadap 35 penunggang motosikal manakala Jabatan Alam Sekitar juga mengeluarkan notis terhadap sembilan individu kerana bunyi bising," katanya |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|