![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220126/serian.jpeg)
Polis menjalankan siasatan dijalankan di lokasi. - Gambar Polis Serian
SERIAN: Polis memberkas 14 lelaki disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah dalam operasi 'Op Tapis Khas' baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata kesemua suspek merupakan warga tempatan berusia lingkungan 22 hingga 48 tahun.
Menurutnya, operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian itu dijalankan di beberapa buah kampung bermula 21 hingga 23 Januari.
"Sepanjang operasi dijalankan, seramai 14 lelaki diberkas, manakala dadah yang dirampas adalah sebanyak 20 tiub straw serta 12 paket plastik lutsinar masing-masing berisi ketulan kristal disyaki dadah.
"Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan seberat 9.87 gram," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi kesalahan memiliki dadah.
"Selain itu, siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 selepas kesemua suspek disahkan positif dadah," katanya.
Jika disabitkan kesalahan, kesemua suspek boleh dikenakan hukuman denda dan penjara.
Dedah Aswandy juga, pasukan operasi turut merampas lima butir peluru hidup senapang patah dan siasatan lanjut berkenaan rampasan tersebut masih dijalankan.
"IPD Serian akan sentiasa melancarkan operasi secara berterusan bagi mengekang kegiatan pengedaran dan juga penagihan dadah.
"Justeru kita mengharapkan agar masyarakat sentiasa peka dan boleh menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan tersebut kepada polis," ujar Aswandy.
utusanborneo.com.my/2022/01/26 |