Uggah bersama Dr Sim dan Pengarah HUS Dr. Ngian Hie Ung berbincang sebelum memeriksa kemudahan di wad COVID-19
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membina unit rawatan rapi (ICU) hibrid kekal di Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi mengasingkan pesakit COVID-19 supaya hospital dapat beroperasi seperti biasa.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, salah satu kawasan tempat letak kereta HUS akan digunakan untuk tujuan itu. Menurutnya, kerja-kerja pengubahsuaian itu dijangka akan bermula pada Februari ini.
“Dengan itu, hospital ini akan mempunyai 10 katil ICU tambahan yang sekali gus akan menambahkan lagi bilangan katil ICU kita sebagai persediaan jika terdapat pesakit COVID-19 pada masa akan datang,” katanya selepas melawat HUS di sini, hari ini.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga bersetuju untuk membantu memasang paip gas di Kompleks Belia dan Sukan (KBS) Sarawak.
“Ini bermakna kita juga akan ada tambahan 40 katil di sana di mana projek ini memerlukan kira-kira kos sebanyak RM500,000,” ujarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) itu berkata, semua usaha ini adalah persediaan untuk menghadapi kemungkinan yang tidak diingini pada masa akan datang.
Bagaimanapun, katanya, jumlah kes harian COVID-19 yang direkodkan di Sarawak telah menurun sejak kebelakangan ini dan berharap keadaan ini akan berterusan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata penubuhan ICU hibrid baharu adalah khusus untuk pesakit COVID-19.
“Ini supaya hospital utama dapat terus beroperasi seperti biasa. Tahun lepas, banyak operasi terganggu kerana kebanyakannya digunakan untuk COVID-19,” katanya.
Semasa wabak menular dengan teruk dahulu, katanya, banyak katil hospital digunakan untuk pesakit COVID-19 manakala operasi biasa lain terpaksa ditangguhkan.
“Sekarang, keadaan beransur pulih dan operasi lain dapat diteruskan seperti biasa.
“Malah Pengarah HUS Dr Ngian Hie Ung turut memberitahu bahawa operasi hospital itu hampir kembali normal kerana bilangan pesakit COVID-19 dan katil yang digunakan semakin berkurangan,” kata Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
utusanborneo.com.my/2022/01/26 |