Edited by Vellfire at 25-1-2022 03:50 PM
SANDAKAN: Seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia dengan kesan tikaman di bahagian dada di sebuah pondok berhampiran Jambatan 15, Kampung Sim-Sim, di sini pagi kelmarin.
Mangsa, warga asing berumur 69 tahun ditemukan oleh anak lelakinya dalam keadaan berlumuran kira-kira jam 6 pagi sebelum membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin (gambar) berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 7.40 pagi.
Katanya, susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan bergerak ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, mangsa yang dalam keadaan terlantar disahkan sudah meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian dada.
“Kejadian itu disedari oleh anak lelakinya yang datang ke pondok tersebut untuk berniaga pada jam 6 pagi,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam. Menurutnya, hasil siasatan mangsa seorang peniaga kecil-kecilan yang menjual sayur-sayuran di pondok berkenaan.
“Kali terakhir mangsa ditemui oleh keluarganya kira-kira jam 5.30 petang pada Ahad di pondok gerai tersebut.
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif serta punca kejadian dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu tampil memberikan maklumat,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/01/25 |