MIRI: Kesukaran jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) Baram memasuki kawasan kampung berikutan Prosedur Operasi Standard (SOP), antara punca parti itu gagal memenangi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).
Perkara ini diakui Ketua Cabang PKR Baram, Roland Engan yang berkata SOP tersebut menyebabkan mesej parti tidak sampai kepada rakyat terutama di kawasan pedalaman Baram.
“Sebahagian besar kawasan kampung ini tidak mempunyai kemudahan internet atau liputan komunikasi. Satu-satunya cara menyampaikan mesej kepada pengundi adalah pergi ke kampung-kampung. Namun berikutan SOP, pergerakan jentera parti terbatas. Kami tidak dapat berbuat demikian (masuk kampung),” katanya semasa sidang media di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua PKR Cabang Baram Elias Lipi Mat, Ketua Penerangan Dennis Along dan ahli jawatankuasa yang lain.
Roland (tengah) semasa sidang media, turut kelihatan, Elias Lipi.
Roland berkata, hasil ‘post-mortem’ parti sebelum ini turut mengenalpasti banyak punca lain yang menyumbang prestasi buruk pilihan raya kali ini.
“Ramai pengundi di Baram yang tinggal di bandar tidak pulang ke kampung. Selain itu sentimen anti parti Semenanjung semakin menebal di kalangan rakyat,” ujar Roland.
Katanya, jawatankuasa Keadilan Baram sudah memutuskan untuk bergerak ke hadapan dan memberi tumpuan perjuangan reformasi.
Beliau menambah, tumpuan kini adalah persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, dan mendekati pengundi muda.
“Selain itu memainkan peranan aktif sebagai semak imbang khususnya di kawasan Parlimen Baram yang meliputi Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi, Mulu dan Telang Usan. Kami juga mahu mengukuhkan jentera parti sebagai persiapan menghadapi PRN ke-13,” katanya.
Roland menambah, apa-apa rancangan bergabung dengan parti pembangkang lain untuk pilihan raya akan datang, ia akan ditentukan pucuk pimpinan bukan cabang Baram.
Pada PRN Sarawak bulan lepas, PKR Baram gagal memenangi ketiga-tiga kerusi DUN iaitu Mulu, Telang Usan dan Marudi.
utusanborneo.com.my/2022/01/21 |