RAMAH MESRA: Masiung (dua kiri) menyantuni pegawai dan kakitangan LPPB pada Majlis Jamuan Tahunan LPPB.
KOTA KINABALU: Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) merancang akan menceburi sektor lain sebagai cabang baharu pelaburannya.
Pengerusinya Datuk Masiung Banah berkata sudah tiba masanya agensi itu menerokai industri lain yang lebih holistik dan berdaya maju.
"Kita tidak mahu terlalu bergantung dengan pelaburan hartanah semata-mata dan perlu lebih ke hadapan mencari dana dari sumber baharu yang lebih berpotensi besar, " katanya semasa menghadiri Majlis Jamuan Tahunan LPPB sempena Program Amanat Pengerusi menjelang tahun baharu 2022.
Masiung berkata satu jawatankuasa khas 'pelaburan dan ekonomi' sudah dibentuk bagi mengenalpasti cabang baharu industri yang bakal diceburi nanti.
"LPPB akan melalui tranfomasi korporat sebaik sahaja mewujudkan bidang lain sebagai cabang pelaburannya.
"Kita tidak akan mengorak langkah secara tergesa-gesa dan tindakan ini dilaksanakan apabila kajian yang matang dijalankan terlebih dahulu dengan mengambil kira cabang pelaburan itu menguntungkan atau sebaliknya," katanya.
Semasa ditanya adakah LPPB bercadang melabur industri berasaskan sawit memandangkan agensi itu memiliki ribuan ekar tanah yang belum dibangunkan, Masiung berkata perkara itu masih dalam proses perbincangan.
Masiung yang juga Wakil Rakyat Kuamut berkata terdapat banyak cadangan yang bakal diceburi termasuklah industri berasaskan perladangan, hiliran, perkilangan dan mineral.
Tambahnya Jawatankuasa Pelaburan dan Ekonomi baharu yang diketuainya akan membuat keputusan sebaik sahaja mesyuarat diadakan pada pertengahan bulan hadapan.
utusanborneo.com.my/2022/01/20 |