Mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki warga emas maut, akibat kecederaan parah di kepala dalam kemalangan di Kilometer 37 Jalan Kota Samarahan-Sadong Jaya malam Rabu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata mangsa dikenali sebagai Zen Abas, 64, dari Kampung Iboi, Sadong Jaya.
Menurutnya, mangsa semasa kejadian menunggang sebuah motosikal menuju ke arah Simunjan apabila tiba-tiba dilanggar sebuah lagi motosikal pada jam 8.30 malam.
"Setiba di lokasi kejadian, mangsa dilanggar dari arah belakang oleh sebuah motosikal yang bergerak lurus dari arah sama. Mangsa tercampak ke tepi jalan raya dan mengalami kecederaan di kepala kerana dipercayai mangsa tidak memakai topi keledar," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa anggota paramedik.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.
Penunggang sebuah lagi motosikal cedera di kaki, tangan dan pinggang.
Dia dikejarkan ke Klinik Kesihatan Sadong Jaya oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan rawatan.
Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
utusanborneo.com.my/2022/01/20
|