Kesemua mereka ditahan oleh pasukan Quick Reaction Force (QRF) yang menjalankan tugas rondaan Op Benteng Bersama di lokasi berkenaan kira-kira jam 3.40 petang.
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata sebelum itu, pasukan QRF mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan sedang berlabuh di jeti berkenaan.
Katanya, bot berkenaan kemudiannya menurunkan kesemua penumpangnya ke daratan sebelum memecut laju beredar secara tergesa-gesa dari jeti tersebut.
“Pasukan QRF segera mengepung kesemua warga asing terbabit dan bertindak menahan mereka untuk pemeriksaan dokumentasi.
“Bagaimanapun, tiga lelaki cuba melarikan diri selepas mereka dikepung, namun berjaya ditahan semula,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, warga asing yang ditahan terdiri daripada empat lelaki, enam wanita dan empat kanak-kanak berumur 3 hingga 53 tahun.
“Hasil pemeriksaan, semua warga asing berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan mengaku masuk ke negara ini secara haram.
“Siasatan awal mendapati mereka menaiki bot daripada Pulau Sebatik yang sudah diatur oleh tekong dan akan diambil oleh tekong darat di Tawau untuk ke destinasi seterusnya,” katanya.
Beliau berkata, pasukan QRF melaporkan tangkapan tersebut kepada Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) ATB 2 untuk tindakan susulan.
“Kemudiannya, kesemua PTI terbabit ditahan dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Abdul Karim berkata tangkapan ini adalah kejayaan ketiga ATB2 dalam mengekang kemasukan PTI secara haram sepanjang bulan Januari tahun ini.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua anggota yang bertugas di POWB ATB2, pasukan QRF dan anggota keselamatan lain atas kejayaan tersebut.
“Semua warga MK ATB 2 diingatkan supaya terus kekal menjadi angkatan yang kredibel dan sentiasa meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasi sebilang masa,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/01/13