KOTA KINABALU: Sindiket penjualan sijil digital vaksinasi yang berlaku di negeri ini satu tindakan sabotaj kepada usaha kerajaan dalam memerangi COVID-19.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (gambar) berkata, perkara itu amat dikesali terutama semasa negara sedang berhadapan masalah jangkitan penyakit yang cukup merbahaya.
Menurutnya, tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab itu juga boleh mengakibatkan nyawa terkorban akibat dari skim penipuan yang mahu mendapatkan keuntungan cara mudah.
"Kita amat kesal dengan tindakan sabotaj kepada usaha untuk memastikan semua rakyat sihat dan selamat dari jangkitan COVID-19.
"Sehubungan itu, kita harap pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya dan membuat siasatan supaya pihak terbabit didakwa di mahkamah," katanya kepada media di sini hari ini.
Beliau ditemui media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor pada Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan kepada sekolah vernakular dan mubaligh, gereja dan kuil bagi 2021 serta penyerahan kepala singa sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2022.
Masidi turut menyeru kepada pihak yang terlibat dalam sindiket berkenaan supaya menghentikan kerja-kerja yang akan merugikan rakyat Sabah.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan mereka yang menjadi mangsa penipuan supaya segera mendapatkan vaksin yang betul.
Ditanya mengenai isu guru yang tidak mahu mengambil vaksin di negeri ini, pihaknya menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menganbil tindakan yang sewajarnya.
"Buat masa ini, kita tiada statistik guru-guru di Sabah yang tidak mengambil vaksin.
"Walaupun ia bukan diwajibkan, tetapi saya fikir semua orang harus divaksin terutama mereka yang berdepan dengan orang ramai setiap hari seperti guru.
"Bayangkan guru yang mengajar murid di bawah 12 tahun yang belum layak menerima vaksin, murid-murid ini terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19," katanya.
Pada 11 Januari lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang lelaki selepas terlibat dalam sindiket pendaftaran sijil digital vaksinasi COVID-19.
Suspek berusia 31 tahun itu diperintahkan menjalani reman sehingga 18 Januari ini bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan untuk menyiasat kes berskala sindiket yang dipercayai membabitkan golongan anti vaksin.
utusanborneo.com.my/2022/01/13 |