![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220109/whatsappimage2022-01-09at113924.jpeg)
KUCHING: Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan agar memberi kerjasama dengan membenarkan anak-anak mereka berusia 12 tahun ke bawah mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Zulkiflee Sebli (gambar) berkata, ia penting bagi memastikan pelajar berkenaan dapat mengikuti semula pembelajaran dengan selamat.
“Memandangkan Sarawak sudah beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan sesi persekolahan penggal ketiga akan bermula esok, maka amat tepat pada keputusan kerajaan untuk memberikan vaksin kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah ini.
“Kita di KGBS sememangnya mengalu-alukan pemberian vaksin ini dan berharap ibu bapa termasuk penjaga membenarkan anak-anak mereka menerima vaksin yang dijangka dilaksanakan pada Februari depan,” katanya kepada Utusan Borneo hari ini.
Dengan pemberian vaksin ini, beliau yakin penularan COVID-19 dapat dikurangkan terutama dalam kalangan kanak-kanak khususnya murid sekolah rendah.
“Jika dilihat keadaan semasa, ibu bapa lebih cenderung membawa anak-anak keluar rumah tanpa memikirkan soal keselamatan mereka.
“Jadi dengan kerjasama dan sokongan ibu bapa kita harap pemberian vaksin kepada anak-anak di bawah umur 12 tahun berjalan dengan lancar, katanya.
Beliau percaya pemberian vaksin ini pasti akan mendapat sokongan daripada ibu bapa sejajar dengan harapan untuk mendapat imuniti kelompok di dalam kawasan sekolah.
“Kita harap menjelang pembukaan sesi baru persekolahan pada Mac nanti, pemberian vaksin kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun ini akan selesai.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri yang bertindak pantas dan usaha murni mereka untuk memberikan vaksin kepada kanak-kanak di bawah kumpulan umur ini,” ujarnya.
utusanborneo.com.my/2022/01/09 |