SIBU: Seramai 18 penghuni tinggal sehelai sepinggang selepas tiga buah blok rumah pekerja yang didiami mereka di Tanjung Ensurai, Jalan Empawah dekat sini ranap dalam satu kebakaran lewat petang, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah TPgB II Abdul Mutalif Ja’afar ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 6.09 petang.
Sejurus itu katanya, BBP Sungai Merah menggerahkan sebuah jentera FRT dan EMRS bersama 16 anggota yang diketuai PBK II Shairunizam Wilie sementara BBP Sibu Sentral yang bertindak sebagai balai bantuan telah menggerakkan aset mereka untuk membantu dengan sebuah jentera FRT dan EMRS bersama 10 anggotanya diketuai oleh PBK II Donny Tan.
Abdul Mutalif yang juga komander operasi memberitahu lokasi kejadian dari BBP Sungai Merah adalah terletak 27 kilometer.
“Kebakaran melibatkan rumah pekerja kilang setingkat dan struktur tidak kekal mempunyai 10 pintu bagi setiap blok.
ANGGOTA bomba ketika terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran tersebut.
“Terdapat 3 blok yang terbakar dan anggaran panjang rumah tersebut adalah 200 kaki x 40 kaki persegi. Blok 1 tiada penghuni terbakar 80 peratus, blok 2 diduduki dua keluarga terbakar 100 peratus dan blok 3 diduduki lima keluarga terbakar 100 peratus,” jelas beliau.
Jelasnya lagi, dalam operasi itu pemadaman mula dilakukan menggunakan konsep ‘Receo’ dengan menggunakan satu aliran 400 kaki dua nozzle dan satu aliran 500 kaki dua nozzle dari sumber air tangki, pam jentera dan pam angkut air pili bomba untuk pemadaman bangunan blok pertama.
“Kita juga menggunakan satu aliran salur bantu mula untuk membuat kawalan kebakaran di blok ketiga untuk mengelak api daripada merebak ke blok keempat. Untuk bahagian hadapan, kita menggunakan kaedah ‘Offensive’ dan ‘defensive’ di bahagian belakang. Api terkawal pada jam 7.16 petang dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.11 malam,” katanya.
Beliau menambah, kerja-kerja ‘overhaul’ kemudian dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca-punca yang boleh menyebabkan kebakaran semula di tempat kejadian sebelum bertolak balik ke balai.
Abdul Mutalif mengatakan punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
by Suaraswk
January 7, 2022 |