Edited by Vellfire at 7-1-2022 03:19 PM
![](https://sarawakvoice.com/wp-content/uploads/2022/01/SV-NEWS-LED-SATOK.pptx-1-1-768x576.jpg)
KUCHING: Pada Disember 2021, sebuah robot yang diberi nama Bella telah datang ke Sarawak bagi menghidang makanan di Heritage Central Café, Kuching.
Diimport dari China, Bella bukan sahaja menghidang makanan, tetapi juga bagi membantu bahagian operasi Heritage Central Café dan menjadi tarikan terbaru di bandaraya Kuching.
Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA) Dr. Zaidi Razak dalam kenyataan media pada Khamis berkata, beliau amat mengalu-alukan inisiatif seumpama itu dalam menyediakan cara baharu dalam operasi restoran.
“Kehadiran robot Bella adalah jalan penyelesaian kepada masalah kekurangan tenaga manusia.
“Bella juga adalah satu cara untuk kita menarik minat para pelajar sekolah untuk menceburi bidang STEM (Sains, Teknologi, Bahasa Inggeris dan Matematik),” katanya.
Selain Bella, satu lagi robot yang Bernama Flash yang ditempatkan di Centre Of Technical Excellence Sarawak (CENTEXS) di Kampus Lundu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Syed Mohd Hussein pula berkata, Bella dan Flash adalah dua robot dibangunkan melalui kecerdasan buatan (AI) yang diperkenalkan oleh CENTEXS sebagai robot ujian (testbeds).
“Teknologi robot ujian ini digunakan dalam industri perhotelan, restoren, bilik darjah, muzium, kompleks membeli-belah, bank, pejabat dan sebagainya. “Kedua-dua robot ini menggunakan wifi, Internet untuk kebendaan (IoT) dan perisian.
“Kini Bella sedang diuji di Heritage Cental Café manakala Flash ditempatkan di CENTEXS Kampus Lundu bagi melancarkan kursus pengaturcaraan android,” jelasnya.
Tambah Syed Mohd, kehadiran Bella dan Flash adalah sebagai langkah pertama dalam menjadikan Sarawak maju dalam bidang robotik.
Mengulas lanjut mengenai Bella ini, Pembantu Tadbir Heritage Central Café, Nur Faridatul Husna Borhan bekata, selain menghidangkan makanan kepada pelanggan, Bella juga berfungsi sebagai pengiring orang kenamaan dan berupaya membuat kejutan sempena hari jadi.
“Bella ini seperti gajet yang dapat dihubungi dengan wifi dan robot ini amat membantu kami di bahagian operasi dapur.
“Ia juga dapat dicas dengan pantas apabila hanya mengambil empat hingga lima jam. Apabila penuh bateri Bella bertahan 12 hingga 24 jam.
“Bella mempunyai empat tray dengan satu tray boleh membawa 10 kilogram hidangan. Jadi, secara keseluruhannya, Bella boleh membawa lebih 50 kilogram makanan dalam satu masa,” jelasnya.
Husna juga memberitahu, Bella telah mahir mengenai selok-belok meja di Heritage Central Café serta mempunyai kamera di bawahnya untuk mengelak terlanggar sebarang objek.
“Apabila Bella sampai ke meja pelanggan, lampu hijau akan bernyala seolah-olah memberi isyarat kepada pelanggan untuk mengambil hidangan mereka. Selesai sahaja, lampu merah bernyala menandakan tugasannya telah dilaksanakan.
“Kehadiran Bella membuatkan restoran kami unik daripada restoran lain yang terdapat di Bandar raya Kuching,” tegasnya.
sarawakvoice.com/2022/01/07 |