![](https://scontent.fkul4-2.fna.fbcdn.net/v/t39.30808-6/269708487_230125375959738_3861758200186621163_n.jpg?_nc_cat=105&ccb=1-5&_nc_sid=730e14&_nc_ohc=7JwvGuRZJK4AX83lYnM&_nc_ht=scontent.fkul4-2.fna&oh=00_AT-0h-HEf2w0gySpWz09cnvZEqpHHaNq1R8893dPPjmFLw&oe=61DD2E9C)
![](https://scontent.fkul4-2.fna.fbcdn.net/v/t39.30808-6/269706597_230125359293073_6569711416893885753_n.jpg?_nc_cat=109&ccb=1-5&_nc_sid=730e14&_nc_ohc=E5o3jOV9NegAX-w6_MG&_nc_ht=scontent.fkul4-2.fna&oh=00_AT8WJQhFd5wiFG7Pv_uJMG0KHvE6t407ap16C6OfLgJ65A&oe=61DCE59E)
COVID-19: Wanita warga emas mangsa terkini, 18 kes baharu
KUCHING: Sarawak merekodkan 18 kes COVID-19 baharu hari ini dengan satu kematian melibatkan wanita warga emas.
Menurut kenyataan media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), wanita berkenaan berusia 86 tahun dari Sarikei mempunyai sejarah penyakit kronik.
"Wanita terbabit mengalami ko-morbit iaitu darah tinggi, kencing manis, penyakit buah pinggang kronik, penyakit paru-paru kronik obstruktif dan penyakit jantung," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, berhubung 18 kes COVID-19 baharu di Sarawak, sebanyak lima kes masing-masing direkodkan di Kuching dan Miri manakala tiga kes direkodkan di Bukit Mabong.
"Selain itu, dua kes direkodkan di Kota Samarahan manakala satu kes masing-masing di Bintulu, Lundu dan Sri Aman.
"Penambahan jumlah kes tersebut menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 252,461 kes," jelasnya.
Tambahnya lagi, daripada jumlah kes baharu itu sebanyak 10 kes kategori satu (tiada gejala) manakala lapan kes membabitkan kategori dua (gejala ringan).
Jelas JPBNS, setakat ini tiada kluster baharu dilaporkan di seluruh Sarawak.
utusanborneo.com.my/2022/01/07
|