Menurut Tang, populariti ladang itu sampai ke pengetahuan agensi pelancongan tempatan yang kemudian menjadikan Labis Sunrise Farm sebagai antara lokasi 'wajib lawat dan inap' pelancong dari dalam dan luar negara.
"Labis Sunrise Farm House Resort beroperasi secara rasmi pada 2015," tambahnya yang mengusahakan ladang itu bersama tiga adik-beradiknya.
Tang berkata, satu lagi keistimewaan ladang itu ialah tanaman diusahakan secara organik dengan memanfaatkan baja kompos yang terhasil daripada sampah daun dan dahan pokok.
Bagi mereka yang sukakan aktiviti perkhemahan dan berkebun, Labis Sunrise Farm pasti menjanjikan kepuasan dengan pakej sewa khemah berharga serendah RM25 hingga RM338, bergantung pada kapasiti dan kemudahan yang disediakan.
Kata Tang, aktiviti itu menjadi tarikan terbaharu Labis Sunrise Farm dan kian mendapat sambutan.
"Penginap atau pengunjung diberikan pendedahan gaya hidup pekebun sebenar dan merasai sendiri proses menggembur tanah menggunakan mesin pembajak, membungkus dan membalut buah-buahan serta memberi makanan kepada haiwan ternakan seperti arnab, ayam, ikan dan kura-kura di mini petting zoo.
"Buat masa ini keluasan tapak perkhemahan hanya sekitar tiga ekar (1.2 hektar) dan kami bercadang menambah keluasan kerana sambutan sangat menggalakkan, terutama selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri," katanya.
Selain itu, Tang berkata, pihaknya juga mengusahakan penanaman buah gac atau tempurang yang amat jarang dijumpai di Malaysia.
"Buah ini unik kerana selain warna buah yang menarik seperti lampu isyarat, iaitu merah, jingga dan hijau, gac juga popular dalam kalangan pesakit kanser untuk melegakan penyakit mereka, terutama selepas rawatan kemoterapi kerana kaya dengan beta-karotena dan likopena.
"Pokok ini ditanam dalam bentuk menjalar dan memerlukan kayu untuk menyokongnya... Tanaman ini akan berbunga selepas dua hingga tiga bulan ditanam dan berbuah mengikut musim iaitu November hingga Februari," katanya.
Ketika lawatan kami ke ladang buah gac, kami turut diberi penjelasan mengenai sarang lebah kelulut yang terletak berhampiran.
"Oleh kerana tanaman buah gac adalah diesius, iaitu kedua-dua tumbuhan jantan dan betina diperlukan untuk pendebungaan, kehadiran lebah kelulut membantu dalam proses 'mengahwinkan' kedua-dua tumbuhan menerusi pemindahan butiran debunga dari benang sari bunga jantan ke stigma betina," jelasnya.
Tang berkata, pihaknya menawarkan pelbagai jenis pakej percutian, antaranya pakej dua hari satu malam, tiga hari dua malam serta rombongan ke ladang buah-buahan, merangkumi pengalaman mengutip dan memetik buah, kemudahan rekreasi seperti karaoke, bilik seminar serta aktiviti kraf tangan kanak-kanak Do-It-Yourself (DIY).
"Selain itu, kami turut menawarkan pakej seminar ataupun syarikat-syarikat korporat yang ingin mengadakan team building dengan harga berpatutan. Semua 20 bilik penginapan kami dihiasi mural hasil kerja tangan pekerja-pekerja kami di sini," katanya.