BAU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Bau dalam keadaan siap siaga menghadapi monsun timur laut terutama bagi kawasan berisiko banjir.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bau Leftenan Pertahanan Awam Patrick Lagak Pateh berkata seramai 38 anggota APM di daerah tersebut bersedia untuk dikerahkan ke mana-mana lokasi untuk menyalurkan bantuan.
Menurutnya, sebagai persediaan pihaknya sudah menyerahkan khemah jenis kubikel kepada kampung-kampung yang berisiko banjir.
"Persedian sudah dilakukan sejak Oktober tahun lepas, di mana terdapat juga kampung-kampung yang kita telah serahkan khemah kubikel yang perlu dipasang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekiranya diperlukan.
"Langkah awal ini diambil kerana ada kampung-kampung yang nanti akan sukar dilalui sekiranya berlaku banjir dan dengan adanya kubikel ini, sekurang-kurangnya ia dapat digunakan sementara menunggu bantuan sampai," katanya semasa ditemui pemberita.
Tambahnya, antara kampung-kampung yang berisiko banjir adalah Kampung Suba Buan, Bogag, Serikin dan Teringus.
"Ini antara kampung yang sukar diakses sekiranya berlaku banjir," katanya.
Jelasnya juga, khemah kubikel tersebut diserahkan kepada ketua-ketua kampung mengikut kuota atau jumlah penduduk kampung yang perlu dipindahkan sekiranya berlaku kecemasan.
"Justeru, kita nasihatkan penduduk kampung yang kediaman mereka berisiko banjir untuk sentiasa bersiap sedia untuk hadapi sebarang kemungkinan," katanya.
Katanya juga, pemantauan APM setakat ini di kawasan Bau mendapati paras air masih tidak membimbangkan.
"Sungguhpun begitu, pemantauan tetap akan dilakukan setiap hari, terutamanya sepanjang musim monsun timur laut," katanya.
utusanborneo.com.my/2022/01/05 |