![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220105/online.jpeg)
Suspek yang ditangkap dalam operasi tersebut.
KUCHING: Sebuah pusat operasi judi dalam talian digempur Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata serbuan dilakukan ke atas sebuah kediaman jenis dua tingkat di Tabuan Tranquility, di sini sekitar jam 6.30 petang. Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut beroperasi sejak tiga bulan lalu.
"Empat warga tempatan dan tiga suspek warga asing berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun disyaki operator pengendalian perjudian dalam talian sejak Oktober 2021 dengan gaji RM1,300 sebulan turut ditangkap untuk siasatan lanjut.
"Suspek berperanan mempromosikan perjudian dalam talian dengan membuat panggilan telefon, menggunakan aplikasi dan laman sosial seperti WhatsApp, Telegram, WeChat, skype dan Facebook," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya juga, siasatan awal mendapati sindiket tersebut memperolehi keuntungan sehingga RM2,000 sehari.
"Jumlah keseluruhan hasil aktiviti sindiket ini sejak tiga bulan lepas mencecah RM180,000.
"Polis kini sedang berusaha mengesan pemilik sebenar premis tersebut," katanya.
Selain itu, polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan dalam kegiatan perjudian tersebut seperti komputer dan peralatan telekomunikasi.
Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 serta penjara tidak lebih tiga tahun.
"Selain itu, hendaklah dikenakan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas," katanya.
Tegasnya, operasi tersebut akan diteruskan dan diperhebatkan lagi bagi membanteras perjudian haram.
"Suspek warga asing yang ditangkap turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
utusanborneo.com.my/2022/01/05 |