LEMAS: Mangsa ditemukan lemas di dalam kolam berhampiran kebun.
SANDAKAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ditemukan lemas di dalam kolam di jalan Jalil Alip, Batu 13, di sini pagi tadi.
Difahamkan, mangsa yang berumur 18 tahun itu keluar dari rumahnya dan tidak pulang sebelum dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.26 malam semalam.
“Susulan itu, seramai enam anggota dan pegawai bersama sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan digerakkan ke lokasi kejadian.
“Operasi menyelamat juga turut dibantu tujuh anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.
Menurutnya, pasukan bomba menggunakan peralatan ‘Grappling Iron’ semasa operasi pencarian hari kedua di dalam kolam berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa berjaya ditemukan kira-kira jam 8.33 pagi di kolam berkenaan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Pasukan bomba kemudiannya menyerahkan mayat mangsa kepada PDRM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Katanya, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kejadian selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.28 pagi.
utusanborneo.com.my/2022/01/05 |