DITEMUKAN: Mayat mangsa ditemukan tersepit diantara kayu dan batu berhampiran Sungai Osum, Sugut.
BELURAN: Seorang pekerja ladang yang dipercayai dihanyutkan arus deras ketika berlakunya banjir di Kampung Kinadaan, Sugut pada Jumaat lalu, ditemukan meninggal dunia, di sini kelmarin.
Mayat mangsa yang dikenali sebagai Kaerul, 26, ditemukan di tebing Sungai Osum, Sugut kira-kira 1.8 kilometer dari tempat kejadian pada jam 1.20 petang.
Ketua Polis Daerah Beluran, Supritenden Kasim Muda berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kehilangan mangsa pada Jumaat lalu.
“Susulan itu, pasukan polis dan agensi penguatkuasa lain telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
“Mangsa yang merupakan pekerja warga asing di sebuah ladang, di sini hilang selepas berlakunya banjir di kawasan ladang tersebut,” katanya dalam kenyataan mediannya di sini, semalam.
Katanya, mangsa telah dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberang jalan yang sudah dinaiki air banjir dengan paras ketinggian kira-kira lima kaki.
“Mayat mangsa ditemukan tersepit diantara kayu dan batu di tebing berhampiran Sungai Osum pada hari kelima SAR dilaksanakan.
“Pasukan operasi berjaya mengambil mayat mangsa dan kemudiannya dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, Kasim berkata keadaan terkini hujan mula berkurangan namun paras air dilaporkan masih statik.
“Banyak kawasan yang masih terjejas terutamanya di Tagas-tagas, Pamol, Paitan, Sugut dan Telupid kerana paras air sungai masih tidak surut.
“Pasukan bantuan juga telah di tambah bagi membantu mangsa-mangsa banjir dimana jumlah terkini seramai 226 orang petugas daripada pelbagai agensi,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/01/05
|