OPERASI: Pasukan bomba bersedia menjalankan operasi menyelamat cubaan bunuh diri lelaki berkenaan.
SANDAKAN: Seorang lelaki yang cuba membunuh diri di beranda dapur rumahnya berjaya diselamatkan isterinya dalam kejadian di bandar Ramai-Ramai, Jalan Leila, di sini semalam.
Difahamkan, tindakan lelaki yang berumur lingkungan 30 tahun itu disedari isterinya sebelum panggilan kecemasan dibuat.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.37 malam.
Menurutnya, seramai sembilan anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, terdapat seorang lelaki cuba untuk membunuh diri di beranda dapur rumahnya dan pasukan bomba terus memasuki rumah tersebut. “Lelaki berkenaan berjaya dipujuk oleh isterinya dan terus ditarik oleh pasukan bomba untuk ditenangkan,” katanya.
Katanya, lelaki berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kaki kerana terpijak serpihan kaca semasa cuba bertindak membunuh diri.
“Pasukan bomba kemudiannya menyerahkan kes tersebut kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan bomba membuat pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan tersebut selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.46 malam,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/01/04 |