RAMPAS: Motosikal mangsa yang dirampas daripada suspek.
BEAUFORT: Dua lelaki berjaya ditahan polis selepas dipercayai mencuri sebuah motosikal yanh dilaporkan hilang Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata kedua-dua suspek berjaya ditahan di dua lokasi berasingan masing-masing di Pekan Beaufort dan Kampung Bakalau.
“Pihak polis menerima laporan daripada pemilik motosikal yang mendakwa motosikal berkenaan hilang semasa diletakkan di Pekan Beaufort kira-kira jam 11 malam.
“Bertindak dengan laporan, kita menjalankan Ops Lejang sebelum mengesan seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis sama.
“Pasukan polis kemudiannya menahan suspek dan hasil pemeriksaan mendapati motosikal dinaiki adalah motosikal yang dilaporkan hilang,” katanya.
Menurutnya hasil soal siasat terhadap suspek kemudiannya membawa satu lagi tangkapan terhadap seorang suspek di Kampung Bakalau yang diakui turut terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal terbabit.
“Kedua-dua suspek berumur 24 tahun yang mempunyai beberapa rekod lampau berkait dengan kes jenayah di sekitar daerah ini ditahan dan motosikal berkenaan turut dirampas untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/01/04 |