Edited by Vellfire at 4-1-2022 10:10 AM
LAWATAN: Bung (kanan) sedang berkata sesuatu semasa melakukan lawatan kerja ke Tongod.
TONGOD: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menggesa jabatan kerajaan khususnya di daerah Tongod supaya mengubah cara bekerja terutama membabitkan soal perkhidmatan kepada rakyat, ke arah yang lebih efisen.
Ini kerana katanya, penyampaian perkhidmatan yang lembab sudah pasti akan menyebabkan segala usaha dan perancangan pembangunan sukar dilaksanakan yang akhirnya tidak dapat dimanfaat sepenuhnya oleh rakyat terutama di luar bandar.
Beliau mahu, sebarang urusan terutama membabitkan perkhidmatan di pejabat daerah diselesaikan dalam tempoh masa yang singkat sekiranya boleh, agar tidak menyukarkan rakyat sehingga terpaksa berulang alik untuk urusan yang sama.
Justeru Bung yang juga Menteri Kerja Raya menyeru supaya Pejabat Daerah Tongod membentuk satu pelan pembangunan daerah bagi membangunkan kawasan berkenaan ke arah yang lebih baik yang bukan sahaja menjadi kebanggaan semua tetapi turut memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi.
Tambahnya, satu pelan pembangunan jangka pendek perlu dilaksanakan segera dan beliau yakin ianya mampu diusahakan dengan adanya kerjasama diantara pemimpin masyarakat setempat.
Sempena lawatan kerjanya ke Tongod, Bung memaklumkan beliau sedang berusaha mendapatkan peruntukan bagi membina sebuah pasar awam serta dewan masyarakat di Tongod bagi kemudahan rakyat dan pada masa sama mampu memajukan lagi daerah itu.
Dalam pada itu, Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan memberitahu, selain Tongod daerah-daerah lain terutama di Pantai Timur Sabah akan dilawatinya bagi meninjau perkembangan pembangunan termasuk kemudahan-kemudahan asas sekaligus memastikan projek-projek pembangunan berjalan seperti yang dirancang.
Jelas Bung, lawatan kerja ke daerah-daerah di Pantai Timur akan diteruskan tahun ini memandangkan sebelum ini sukar dilaksanakan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 dan lain-lain kekangan.
utusanborneo.com.my/2022/01/04 |