Edited by Vellfire at 4-1-2022 03:18 PM
![](https://scontent.fkul4-3.fna.fbcdn.net/v/t39.30808-6/270409221_336435624966157_7168742447214147337_n.jpg?_nc_cat=107&ccb=1-5&_nc_sid=8bfeb9&_nc_ohc=I-ETf7uXE34AX864t12&_nc_ht=scontent.fkul4-3.fna&oh=00_AT8b2H2jNJm98ouS9Dol76l12QLDUTpVAr_A1ciplUkkKQ&oe=61D986D6)
Kes COVID-19 kembali tinggi di Sabah
KOTA KINABALU: Kes baharu COVID-19 di Sabah kembali melonjak naik dengan peningkatan 97 kes menjadikan jumlah yang direkodkan hari ini sebanyak 258 kes.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, sebanyak 10 daerah merekodkan kes pada kadar dua angka dengan Penampang mencatatkan kes tertinggi 49 kes.
Katanya, Kota Kinabalu merekodkan 32 kes, diikuti Tuaran 22 kes, manakala Kota Marudu dan Kota Belud masing-masing mencatatkan 19 kes.
Menurutnya, sebanyak 12 daerah mencatatkan kes satu angka dan lima daerah lagi tidak merekod sebarang kes baharu.
"Sekitar 70 peratus daripada kes-kes baharu setiap hari melibatkan mereka yang sudah lengkap divaksin.
"Ia memberi gambaran masih ramai menganggap mereka sudah kebal daripada jangkitan.
"Anggapan ini bukan sahaja salah tetapi mereka tidak sedar mereka boleh menjangkiti pula anak-anak di rumah yang belum layak divaksin," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, seramai 17.4 peratus kes hari ini dalam kalangan kanak-kanak yang belum layak menerima vaksin.
Sehubungan itu, Masidi mengingatkan, para ibu bapa boleh menjadi pembawa virus dan menjangkiti anak-anak di rumah yang masih kecil.
Selain itu katanya, sejumlah 252 daripada 258 kes berada dalam kategori satu dan dua, manakala tidak ada kes dalam kategori tiga.
Menurutnya, tiga kes direkodkan dalam kategori empat dan terdapat satu kes dalam kategori lima. Terdapat dua kes yang masih lagi dalam penilaian pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
utusanborneo.com.my/2022/01/04 |