SIDANG MEDIA: Azizulkifli semasa mengadakan sidang media di PKTK, di sini.
TAWAU: Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor mengesahkan laporan awal ujian saringan COVID-19 dua jenazah bot karam yang ditemukan kelmarin adalah positif.
Azizulkifli berkata pihaknya menerima laporan tersebut daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebaik keputusan ujian pertama dikeluarkan.
“Bagaimanapun, pihak KKM juga sudah menjalankan ujian saringan kedua untuk mengesahkan sebetulnya jenazah tersebut positifi COVID-19.
“Bagi jenazah yang baharu ditemukan, kita sudah hantar ke Hospital Besar Tawau untuk proses ujian saringan COVID-19,” katanya ketika mengadakan sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), di sini hari ini.
Menurutnya, semua keluarga mangsa dan orang awam yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan COVID-19.
“Saya menyeru keluarga mangsa dan orang awam yang mempunyai simptom COVID-19 diminta untuk datang ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan.
“Sementara menunggu ujian saringan COVID-19 dilakukan, semua diminta untuk menjalani kuarantin kendiri bagi mengelak berlakunya penularan wabak tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Azizulkifli juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menjalankan aktiviti di persisir pantai kerana keadaan cuaca sekarang tidak menentu dan laut bergelora.
“Bagi nelayan pula, sila dapatkan maklumat terkini daripada Jabatan Meteorologi sekiranya mahu turun ke laut untuk menangkap ikan.
“Pastikan semua kelengkapan bot dalam keadaan baik terutamanya kondisi bot dan sentiasa memakai jaket keselamatan semasa berada di laut,” katanya.
Selain itu, katanya, masyarakat di daerah ini juga diminta untuk sentiasa mendengar arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku cuaca yang tidak menentu seperti hujan berterusan.
“Mereka yang tinggal di persisir pantai dan di kawasan rendah diminta untuk bersiap sedia sekiranya pihak berkuasa mengarahkan keluar dari rumah demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/01/03 |