![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220103/kks-ub030122-san-maut-p1copy.jpg)
LOKASI: Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian mangsa yang dipercayai maut akibat dipukul objek keras.
KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut dipercayai dipukul menggunakan objek keras dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mangsa yang berumur 50 tahun itu ditemukan dalam keadaan tertiarap dengan kesan tompokan darah di kawasan lapang berhadapan sebuah pejabat terbiar di Kingfisher dekat sini.
Menurutnya, mangsa dipercayai dipukul oleh lelaki yang disyaki sedang mencuri kabel elektrik semasa mangsa memeriksa fius elektrik di lokasi kejadian.
Katanya, siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa dikatakan keluar rumah sekitar jam 10.30 malam untuk memeriksa fius elektrik di lokasi kejadian berikutan bekalan elektrik di rumah kongsi mangsa terputus.
Beliau berkata, sejam selepas mangsa keluar rumah, rakan mangsa bersama anaknya turut ke lokasi kejadian untuk memeriksa masalah bekalan elektrik yang terputus.
"Ketika sedang membuat pemeriksaan, rakan mangsa terdengar anjing menyalak kemudian memeriksa keadaan di sekeliling lokasi berkenaan.
"Rakan mangsa mendapati kelibat seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri dengan kesan tompokan darah.
"Lelaki terbabit terus menghubungi rakannya (mangsa) yang bekerja di lokasi berkenaan dan terkejut apabila bunyi deringan telefon bimbit itu bersebelahan dengan kelibat lelaki yang tertiarap," katanya ketika dihubungi mengesahkan kejadian di sini hari ini.
Mohd Zaidi berkata, selepas menyedari mangsa yang tertiarap adalah rakannya sendiri, lelaki berkenaan segera menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, siasatan lanjut di lokasi dengan bantuan pasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah mendapati mangsa mengalami kecederaan bengkak di mata dan kesan retak pada dahi disyaki dipukul menggunakan objek keras.
Pihaknya turut menemukan sebatang kayu jenis beruti disyaki digunakan suspek untuk menyerang mangsa.
Dalam pada itu jelasnya, siasatan lanjut di bilik fius tidak jauh dari lokasi mayat mangsa ditemukan terdapat kabel elektrik dipotong disyaki dicuri suspek yang tidak dikenali.
"Siasatan awal mendapati suspek yang sedang mencuri kabel di bilik fius kemudian menyerang mangsa menggunakan kayu beruti selepas menyedari kehadiran mangsa di bilik berkenaan sebelum melarikan diri.
"Bagaimanapun siasatan masih diteruskan dan usaha mengenal pasti suspek sedang giat dijalankan. Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat lanjut," katanya.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta supaya menghubungi polis untuk membantu siasatan.
utusanborneo.com.my/2022/01/03 |