![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220103/whatsappimage2022-01-03at102851.jpeg)
Suspek ditahan polis dalam Ops Tapis pada Ahad.
MUKAH: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki memiliki dadah di belakang sebuah kedai di Pasar Lama, Mukah di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias berkata suspek berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang semasa sepasukan polis sedang melakukan rondaan Ops Tapis di kawasan berkenaan.
"Hasil pemeriksaan badan, polis merampas satu kotak rokok warna putih yang sedang digenggam pada tangan kanan suspek.
"Semasa pemeriksaan lanjut ke atas kotak rokok tersebut, polis menemukan tiga keratan straw kecil lutsinar warna hijau yang berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dan dianggarkan seberat 0.83 gram," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Muhamad Rizal, suspek serta barang rampasan tersebut kemudian di bawah ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, suspek dipercayai terlibat dengan penagihan dadah sejak pertengahan Disember tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, hasil ujian air kencing saringan awal polis terhadap suspek didapati negatif dadah.
Tegasnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
utusanborneo.com.my/2022/01/03 |