![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220102/twu-ub020122-hs-bombap1.jpg)
OPERASI: Pasukan bomba berjaya membawa keluar jenazah dari kawasan banjir.
BELURAN: Pasukan Bomba menjalankan operasi membawa jenazah wanita keluar daripada kawasan banjir di Kampung Rumidi, Batu 8 Sapinangoh, di sini.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan untuk operasi bantuan itu pada jam 7.06 pagi.
“Susulan itu, seramai empat anggota dan pegawai digerakkan ke lokasi kejadian untuk membantu membawa keluar jenazah berkenaan.
“Pasukan bomba menggunakan sebuah bot dalam operasi mengeluarkan jenazah berkenaan dari kawasan banjir di kampung tersebut,” katanya.
Katanya, kampung berkenaan antara kawasan yang dilanda banjir dan kenderaan tidak dapat melalui laluan tersebut.
“Pasukan bomba berjaya mengambil dan membawa keluar jenazah berkenaan daripada kawasan banjir.
“Jenazah berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.48 pagi,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/01/02 |