|
Sebelum ini, BTS sibuk dengan siri jelajah BTS Permission To Dance On Stage dan Jingle Ball Tour di Los Angeles, Amerika Syarikat. Foto IG Rasmi BTS
KUALA LUMPUR: Tiga anggota kumpulan BTS iaitu RM, Jin dan Suga dilaporkan dijangkiti COVID-19 selepas pulang daripada menjayakan siri jelajah di Amerika Syarikat (AS).
Syarikat pengurusan BTS, Big Hit Music dilaporkan memberitahu, RM dan Jin disahkan positif COVID-19, malam tadi, manakala Suga, kelmarin, lapor agensi.
Big Hit Music memberitahu, semua tujuh anggota BTS termasuk J-Hope, Jimin, V, and Jungkook masing-masing menerima vaksinasi kedua, Ogos lalu.
Dilaporkan, RM tidak menunjukkan sebarang simptom manakala Jin demam dan sedang menjalani kuarantin kendiri di kediamannya.
Lapor agensi, Suga tidak memperlihatkan banyak simptom dan menjalani kuarantin kendiri di kediamannya.
Big Hit dilaporkan berkata, syarikat akan mematuhi semua peraturan ditetapkan Kerajaan Korea Selatan bagi memastikan tiga anggota BTS sembuh.
"Syarikat meletakkan kesihatan artis sebagai keutamaan. Kami akan melakukan apa yang mampu untuk membantu dalam proses pemulihan cepat," katanya.
Sementara itu, BTS akan berehat sebagai persediaan menjayakan konsert dan album baharu, lapor agensi.
Sebelum ini, kumpulan K-Pop itu sibuk dengan siri jelajah BTS Permission To Dance On Stage dan Jingle Ball Tour di Los Angeles, AS. AGENSI
|
|