Edited by Vellfire at 23-12-2021 11:13 AM
Tertuduh diiringi polis semasa berada di Kompleks Mahkamah Kuching.
KUCHING: Seorang lelaki bekerja sendiri dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dikenakan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah bapanya, menggunakan sebatang kayu dan besi.
Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad menetapkan demikian terhadap Philip Najep, 41, selepas perbicaraan penuh dijalankan dan tertuduh didapati bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mahkamah juga memerintahkan hukuman penjara untuk dikuatkuasakan dari tarikh tertuduh direman iaitu pada 11 Januari 2020.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap bapanya yang berusia 74 tahun menggunakan sebatang kayu dan sebatang besi sebagai senjata.
Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada 10 Januari 2020, sekitar jam 4 petang di kediaman keluarga mereka di Kampung Serumah Gayu, Jalan Padawan, di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan keterangan kes, semasa kejadian berlaku, timbul perbalahan antara mangsa dan tertuduh sehingga menyebabkan tertuduh bertindak demikian.
Hasil siasatan juga mendapati mangsa patah tulang lengan kiri, selain luka pada dahi dan kaki kiri.
Difahamkan, tertuduh berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Mohamad Ali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
utusanborneo.com.my/2021/12/23
|