PERIKSA: Haris bersama pegawainya memeriksa dokumen salah seorang pengunjung pusat hiburan yang diserbu.
SERBU: Pusat hiburan beroperasi melebihi masa diserbu di Jalan Penampang Baru di sini semalam.
PENAMPANG: Tindakan 82 pengunjung yang leka berhibur sehingga lewat pagi membawa padah selepas dikompaun RM123,000 di sebuah pusat hiburan di Jalan Penampang Baru di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata kesemua pengunjung dikenakan tindakan terbabit selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat.
“Bertindak dengan maklumat awam, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menjalankan serbuan selama empat jam bermula kira-kira jam 1 pagi di pusat hiburan terbabit.
“Semasa serbuan dilakukan, muzik sedang dimainkan dan ramai pengunjung yang bersesak-sesak sedang berhibur.
"Pemeriksaan didapati pengunjung yang berada di dalam premis itu tidak mengamalkan penjarakan fizikal serta ada pengunjung tidak membuat imbasan kod MySejahtera,” katanya semasa ditemui di lokasi serbuan.
Beliau berkata pasukan polis kemudiannya menjalankan penguatkuasaan dengan mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,500 setiap seorang kepada 82 pengunjung. Tambahnya pemilik premis juga ditahan mengikut Seksyen 3 Public Entertainment Ordinance 1958.
“Kita iuga mengenakan kompaun sebanyak RM25,000 kepada pemilik premis berkenaan menjadikan nilai keseluruhan kompaun berjumlah RM148,000.
"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak terbabit atau berkunjung ke premis-premis pusat hiburan yang beroperasi secara sembunyi-sembunyi.
"Polis khususnya IPD Penampang tidak berdiam dan sentiasa menjalankan risikan dari semasa ke semasa bagi tujuan serbuan dalam usaha kerajaan menghentikan wabak COVID-19 di negara ini khususnya masyarakat daerah Penampang," jelasnya.
utusanborneo.com.my/2021/12/23 |