![](https://sarawakvoice.com/wp-content/uploads/2021/08/sarawak-1-696x531.jpg)
KUCHING: Perjuangan Sarawak untuk menuntut hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan bermakna hendak keluar atau berpisah dari Persekutuan.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini bagi mendapatkan kembali sepenuhnya hak Sarawak yang terhakis seperti termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.
“Apabila Sarawak memperjuangkan MA63, kita hendak mendapatkan sepenuhnya perkara yang termaktub. “Saya memang menekankan Perkara 160 (2), tidak seperti ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mahu meminda Perlembagaan hanya berdasarkan Perkara 1(2), yang kita tidak bersetuju.
“Kita mahukan pindaan substantif, iaitu kandungan Perlembagaan yang merangkumi perkara yang telah ditandatangani dalam MA63 bersama-sama dengan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC),” katanya.
Abang Johari berkata demikian pada hari pertama beliau kembali bertugas sebagai Ketua Menteri Sarawak, di sini, pada Selasa.
Berkongsi contoh perjuangan tersebut, Abang Johari berkata dalam IGC Perenggan 24 ada menyatakan Sarawak dan Sabah mesti mempunyai wakil dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Ia wajib, tetapi sehingga sekarang Sabah dan Sarawak langsung tidak menganggotainya. Jika ada wakil, kita akan tahu berapa jumlah keseluruhan pendapatan negara dan dapat memohon jumlah geran yang munasabah di bawah Perkara 112D.
“Malah kita tahu berapa jumlah hasil pendapatan dari Sarawak yang bermakna sekurang-kurangnya 20 peratus hasil itu harus dikembalikan kepada negeri ini. “Ini hak kita sebagai rakan kongsi dan saya akan melihat perkara ini dengan lebih mendalam untuk mengambil langkah seterusnya,” jelasnya.
Abang Johari menzahirkan kesyukuran kerana rakyat Sarawak memahami kedudukan unik negeri ini berdasarkan MA63 yang sekali gus menyumbang kepada kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12.
“Kita di GPS tidak menjangka akan memenangi sejumlah 76 daripada 82 kerusi kerana hanya jangka menang sekitar 68 ke 72 kerusi.
“Tetapi nampaknya rakyat faham dengan hala tuju dan dasar yang telah saya ketengahkan khususnya ke arah 2030. “Mereka juga faham kita mesti mempunyai kestabilan politik untuk usaha meneruskan pembangunan serta Kerajaan GPS yang mementingkan keterangkuman dasar melibatkan semua agama,” katanya lagi.
Tegas Abang Johari, kesemua dasar tersebut menjadi asas kepada kemenangan besar GPS termasuk integriti pihaknya yang sentiasa menunaikan janji serta hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan.
sarawakvoice.com/2021/12/23 |