![](https://suarasarawak.my/wp-content/uploads/2021/01/KPDNHEP.png)
KUCHING: Pengusaha perniagaan bengkel diingatkan untuk tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan harga yang melampau ke atas pembaikan kenderaan selepas musim banjir ini.
Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, mereka boleh disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2018 jika didapati berbuat demikian.
“Para peniaga juga diingatkan untuk untuk mematuhi Peraturan-Peraturan Pelindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002, Akta Pelindungan Pengguna 1999.
“Justeru, KPDNHEP juga akan terus meningkatkan pemantauan ke atas premis-premis perniagaan kenderaan bermotor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau juga menasihati pengguna agar sentiasa berhati-hati supaya mendapatkan sebut harga secara bertulis berkaitan jangkaan harga pembaikan kenderaan daripada peniaga.
Dalam pada itu, katanya sepanjang tahun ini pihaknya telah menjalankan sebanyak 570 pemeriksaan di seluruh negeri ke atas bengkel kenderaan bermotor dan 76 kes telah diambil tindakan dengan nilai kompaun sebanyak RM21,250.
Untuk aduan, orang ramai boleh menghubungi KPDNHEP 1-800-886-800; WhatsApp 019-279 4317; Portal Aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my; Emel [email protected] atau Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245.
by suaraswk
December 22, 2021 |