![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20211222/whatsappimage2021-12-22at102252am.jpeg)
Keadaan kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa dalam kemalangan tersebut.
KUCHING: Seorang lelaki dan wanita disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Batu 19 Jalan Kuching-Serian, lewat malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Jirino Mirut,60, dari Kampung Mundai dan Lisa Mutong, 37, dari Kampung Simpok.
Menurutnya, kedua-dua mangsa menaiki sebuah kereta semasa kemalangan tersebut berlaku sekitar jam 12.30 tengah malam.
"Kemalangan berlaku apabila mangsa yang bergerak dari arah Serian telah membelok masuk ke Taman Duranda Mas dan dilanggar sebuah kereta yang bergerak lurus dari arah Batu 15.
"Akibat perlanggaran tersebut menyebabkan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia selepas diperiksa anggota paramedik di lokasi kejadian," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.
"Manakala pemandu dan penumpang sebuah lagi kereta yang terlibat, turut mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Serian untuk mendapatkan rawatan," katanya lagi. Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
utusanborneo.com.my/2021/12/22 |