![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/filefield_paths/b185ad85-d438-4aec-b0cc-bd21575992f3.jpeg)
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited untuk membangunkan lebih banyak kumpulan modal insan yang berkemahiran tinggi dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor (gambar) berkata tindakan itu dilihat bersesuaian berikutan keadaan ekonomi global kini yang memasuki Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Katanya dalam Belanjawan 2022 Sabah, kerajaan tidak hanya menumpukan pertumbuhan dan pemulihan ekonomi tetapi juga pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.
“Sebanyak RM127.06 juta diperuntukkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk Program Pembudayaan dan Pengadaptasian Sains, Teknologi dan Inovasi di negeri ini.
“Peruntukan sebanyak RM500,000 bagi melaksanakan Kajian Kemungkinan Pembangunan IR4.0 Advancement Centre di Sabah Skills And Technology Centre juga diberikan bagi bakat modal insan di Sabah terus digilap untuk memenuhi kehendak industri semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran Bosch Rexroth Cyber Physical Training System I4.0 dan majlis penyampaian sijil tamat program Skills For Prosperity di Sabah Skills and Technology Centre (SSTC) Taman Peindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini semalam.
Hajiji berkata SSTC kini sedang melaksanakan program ‘Skills for Prosperity’ menerusi kerjasama dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur.
Katanya program ini adalah yang pertama di Sabah dan penghargaan diberikan kepada pihak Suruhanjaya Tinggi British dan ILO kerana masing-masing membiayai dan menyelaras program berkenaan.
Menurutnya dua daerah dipilih sebagai projek perintis iaitu keusahawanan pemprosesan makanan di Ranau dan penerapan elemen Teknologi dan pemprosesan makanan bagi Tuaran membabitkan 50 peserta bermula pada November lalu.
“Program ini sejajar dengan teras kedua dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang menyasarkan golongan B40, wanita terutamanya ibu tunggal dan juga belia,” katanya.
Seramai 25 pelatih di Ranau menerima sijil Kemahiran Entrepreneurial Skillset for Food Processing Industry manakala 25 lagi pelatih di Tuaran menerima sijil kemahiran Technology Integrated Employment Skills for Food Processing Industry.
Sementara itu, Hajiji percaya pengenalan ‘Bosch Rexroth Cyber Physical Training System I4.0’ yang juga kilang pintar bersaiz mini akan membantu menyediakan Sabah dengan pemahaman yang lebih baik berkaitan teknologi terkini.
“Sabah adalah pemilik ketiga di Malaysia bagi unit seumpamanya dan unit keempat di rantau ASEAN dan semua pelatih diharap akan menggunakan sepenuhnya teknologi itu bagi mengurangkan kos dan meningkatkan pengeluaran.
“Usaha SSTC yang melatih lebih 17,000 pelatih termasuk 6,000 lepasan sekolah dan graduan sejak penubuhannya 21 tahun lalu juga dihargai,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/12/21 |